WhatsApp sedang mengusahakan fungsi yang membolehkan pentadbir kumpulan (group admin) lebih kawalan bagi aktiviti-aktiviti di dalam kumpulan borak WhatsApp. Antaranya membenarkan pentadbir kumpulan untuk memadam mesej-mesej yang dihantar oleh pengguna-pengguna lain.
Menurut WABetaInfo, mesej pengguna yang dipadamkan oleh pentadbir kumpulan akan dipaparkan sebagai “This was removed by an admin.”
Buat masa ini, WhatsApp hanya menawarkan pilihan untuk memadam mesej yang dihantar oleh pengguna itu sendiri sahaja.
Fungsi ini juga memberikan kuasa seperti moderator bagi sesebuah kumpulan borak seperti di dalam aplikasi permesejan lain seperti Telegram. Selain itu, pentadbir juga dibenarkan untuk mengubah status kumpulan borak sama ada hanya menerima mesej dari pentadbir atau dari sesiapa sahaja di dalam kumpulan.![]()
Bagi kumpulan borak melibatkan tempat kerja atau profesional, fungsi ini dapat membantu pentadbir memadamkan mesej-mesej yang tidak sepatutnya dihantar oleh ahli-ahli kumpulan borak.
Setakat ini WhatsApp masih belum menyatakan bilakah fungsi ini akan diperkenalkan kepada pengguna umum platform permesejannya.













