Waze baru-baru ini telah mengumumkan pelaksanaan Waze Beacon di rantau Asia Tenggara akan bermula di Malaysia. Peranti berasaskan isyarat Bluetooth ini akan dipasang di laluan-laluan bawah tanah sekitar Tun Razak Exchange (TRX) menghala ke kawasan parkir.

Dalam satu pengumuman bersama yang dibuat oleh Waze dan TRX City, Waze Beacons turut memandu arah ke jalan-jalan dan lebuh raya yang berhubung di sekitarnya. Fungsi ini amat berguna bagi pemandu di Kuala Lumpur memandangkan TRX adalah kawasan pembangunan besar di pinggir Jalan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.

Kawasan yang dibangunkan di dalam kawasan TRX turut merangkumi Bulatan Kampung Pandan, dan juga menjadi laluan masuk ke Lebuhraya MEX dan Terowong SMART. Di masa akan datang, kawasan TRX ini juga boleh dihubung masuk dari lebuh raya baru, Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE).

Sungguhpun dikenali sebagai Waze Beacon, peranti yang akan dipasangkan nanti bukan dimiliki oleh Waze, sebaliknya dipasang dan dimiliki oleh TRX City. Selain itu, penggunaan Waze Beacon ini tidak dikhususkan pada Waze sahaja, perkhidmatan pemandu arah lain juga boleh memanfaatkan peranti ini.

Pelaksanaan Waze Beacon di TRX ini juga boleh dianggap sebagai ujian rintis di Malaysia dan dijangka bakal diperluaskan lagi ke kawasan-kawasan lain di masa akan datang.

Tinggalkan komentar