Pengguna Windows kebanyakan mungkin pernah menggunakan aplikasi Notepad sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka. Aplikasi ini amat mudah, ringkas dan pantas untuk mengambil nota tanpa sebarang masalah.

Pun begitu, rekaannya tidak begitu banyak berubah sejak pertama kali ia diperkenalkan. Kini melalui kehadiran Windows 11, Microsoft memperkenalkan rekaan baharu bagi aplikasi Notepad.

Dikenali secara rasminya sebagai Notepad for Windows 11, aplikasi versi wajah baharu ini tidak akan hadir ke PC Windows 10 dalam masa yang terdekat ini. Rekaan baharu Notepad baharu ini diselarikan dengan falsafah rekaan Windows 11, namun masih mengekalkan penggunaan font klasiknya, Consolas. Walaubagaimanapun, tetapan ini boleh diubah melalui ikon berbentuk gear pada penjuru kanan sebelah atasnya.

Perubahan terbesar yang dibawakan oleh Notepad for Windows 11 pastinya pada fungsi mod gelap (dark mode). Mod ini ditetapkan secara lalai berdasarkan tetapan tema sistem anda. Anda bagaimanapun masih lagi boleh menetapkannya ke mod terang tanpa perlu mengikuti tetapan tema sistem anda sama ada ia mod gelap mahupun mod terang.

Satu lagi perubahan besar yang dibawakan oleh Notepad ini adalah keupayaan untuk ‘undo’ lebih dari sekali. Sebelum ini, anda hanya boleh ‘undo’ melalui ‘Ctrl + Z’ dengan sekali sahaja dan jika anda tekan ‘Ctrl + Z’ lagi, ‘undo’ tersebut akan di’undo’ semula 🤦‍♂️. Mujurlah fungsi tersebut telah diperbetulkan semula melalui Notepad for Windows 11 ini.

Notepad for Windows 11 buat masa ini masih lagi diperingkat beta dan bagi pengguna Windows Insider, anda boleh mencubanya menerusi binaan pratonton Windows Dev Channel. Anda juga boleh menghantar maklumbalas mengenai penggunaan Notepad ini melalui Windows Feedback Hub.

Tinggalkan komentar