vivo secara rasminya telah melancarkan telefon pintar peringkat menengah baharunya, Y55 5G ke pasaran Malaysia. Sekali imbas telefon pintar ini kelihatan mirip dengan Y55+ yang dilancarkan lebih kurang sebulan yang lalu.

Pun begitu, spesifikasi dalamannya adalah amat berbeza yang bersesuaian dengan harga yang ditawarkannya. Selain itu, varian vivo Y77 yang dijual di Malaysia ini juga amat berbeza dengan versi yang dijual di China.

Telefon pintar ini menampilkan paparan LCD 6.58-inci 60Hz berbanding versi di China yang menampilkan paparan AMOLED 6.64-inci 120Hz. Skrinnya menampilkan paparan bertakuk yang menempatkan sebuah kamera hadapan 16MP. Pada sisinya pula ditempatkan pengimbas cap jari bersama-sama butang kawalan audio pada sisi kanannya.

vivo Y77 5G versi Malaysia menggunakan MediaTek Dimensity 810 dengan hanya menawarkan satu sahaja pilihan RAM dan storan iaitu 8GB + 256GB. Selain menyediakan slot kad mikroSD, telefon pintar ini juga menyediakan sokongan penambahan RAM secara maya sehingga 4GB lagi.

Kamera belakang telefon pintar ini mengandungi satu kamera utama 50MP, dan satu kamera makro 2MP. Untuk ketersambungannya pula, ia mempunyai Bluetooth 5.1, sokongan dual band Wi-Fi, dwi-SIM, bicu audio 3.5mm dan 5G.

Melalui bateri berkapasiti 5,000mAh yang disediakan, telefon ini hanya menyokong pengecasan sehingga 18W. Menurut vivo, kapasiti bateri mampu bertahan sehingga 18 jam bagi penggunaan tontonan video penstriman seperti YouTube.

vivo Y77 5G kini boleh dipra-tempah melalui kedai rasmi dalam taliannya, Lazada dan juga di Shopee. Pembelian yang dibuat di antara 8 hingga 15 Julai ini turut berpeluang menerima cenderahati percuma bernilai RM597 yang merangkumi baucar, earbud berjenama Foomee, waranti lanjutan selama 1-tahun dan 1-tahun perlindungan skrin.

Tinggalkan komentar