September lalu, Vivo telah memperluaskan telefon pintar Y Series keluarannya dengan Y20s melalui pelancaran eksklusif bersama-sama tawaran dari Digi. Minggu ini, sebuah lagi variasi telefon pintar berkenaan diperkenalkan dengan kali ini tanpa sebarang tawaran dengan mana-mana syarikat telekomunikasi.

Variasi terbaru ini berbeza dari segi kapasiti RAM dengan menawarkan 8GB RAM, berbanding variasi yang diperkenalkan melalui Digi beberapa bulan lepas iaitu 4GB RAM. Selain dari RAM, lain-lain spesifikasinya masih lagi kekal sama.

Vivo Y20s dilengkapkan dengan paparan IPS HD+ 6.51-inci dan dikuasakan oleh cipset Qualcomm Snapdragon 460. Ia juga didatangkan bersama-sama storan dalaman 128GB berserta sistem tri-kamera, menampilkan kamera utama 13MP f/2.2, kamera bokeh 2MP dan kamera makro 2MP.

Telefon pintar ini juga menyertakan kamera swafoto 8MP f/1.8, selain bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong teknologi pengecasan pantas FlashCharge 18W.

Harga yang ditawarkan untuk Vivo Y20s variasi RAM 8GB adalah RM899, beza lebih RM100 dari variasi RAM 4GB. Telefon pintar Vivo ini boleh diperoleh melalui kedai dalam talian Vivo Malaysia atau melalui kedai rasminya di Lazada dan Shopee.

Tinggalkan komentar