Vivo Malaysia secara rasminya telah melancarkan telefon pintar baharu, X80 dan X80 Pro. Telefon pintar mercu keluaran terkini dari Vivo ini menggunakan pemprosesan terunggul dari Qualcomm dan juga MediaTek. Menariknya, Vivo X80 merupakan telefon pintar pertama di Malaysia yang menggunakan cipset MediaTek Dimensity 9000.

Spesifikasi Vivo X80 Pro 5G

Antara kedua-duanya, Vivo X80 Pro 5G merupakan model yang menawarkan spesifikasi paling tinggi di dalam siri ini. Ia menawarkan paparan AMOLED 6.78-inci WQHD+ (3200×1400 piksel) dengan kadar penyegaran semula 120Hz.

Ia juga mempunyai pengimbas cap jari 3D Ultrasonic yang menurut Vivo mampu menyahkunci dalam tempoh 0.2 saat sahaja. Tambah Vivo lagi, sensor ultrasonic ini juga 11.1 kali lebih besar jika dibandingkan dengan sensor cap jari biasa, selain turut menyokong pengesahan dua jari bagi meningkatkan perlindungan privasi.

Menguasakan telefon pintar ini, sebuah cipset Snapdragon 8 Gen 1 digunakan bersama-sama sokongan RAM LPDDR5 12GB dan storan UFS 3.1 256GB. Telefon ini juga menampilkan ciri sokongan Extended RAM yang menggunakan tambahan dari ruangan storan sehingga 4GB sebagai RAM maya.

Fotografi Vivo X80 Pro 5G

Fotografi merupakan salah satu ciri yang diketengahkan oleh Vivo X80 Pro dan kamera-kamera yang ditawarkannya ini dihasilkan secara bersama dengan kejuruteraan Zeiss. Bahagian belakang telefon ini mempunyai satu bonggol kamera besar dengan tiga kamera ditempatkan pada bahagian bulatan tersebut. Sebuah kamera tambahan lagi ditempatkan pada bahagian bawah kiri bonggol segi empat telefon berkenaan.

Menurut helaian spesifikasinya, kamera utama 50MP pada telefon ini didatangkan dengan sensor Ultra Sensing GNV, kamera ultra lebar 48MP, kamera potret 12MP dengan ‘gimbal’, dan sebuah kamera telefoto berperiskop 8MP.

Telefon pintar ini juga menampilkan cip tersuai Vivo V1+ yang dikatakan mampu memberikan penambahbaikan visual bertaraf profesional melalui bantuan kecerdasan buatan (AI). Untuk swafoto, sebuah kamera 32MP disediakan pada bahagian berpenebuk lubang pada paparan sebelah hadapannya.

Seperti yang anda jangkakan dari sebuah telefon pintar mercu premium, X80 Pro 5G menyediakan sepasang pembesar suara stereo. Telefon pintar yang turut diberikan penarafan kerintangan air dan debu IP68 ini juga menggunakan antaramuka Vivo FunTouch OS 12 yang berasaskan Android 12.

Vivo X80 Pro 5G menggunakan bateri berkapasiti 4,700mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar Vivo 80W Flash Charge dan secara nirwayar 50W FlashCharge. Menurut Vivo, anda boleh mengecas sepenuhnya telefon pintar ini dalam tempoh 35 minit sahaja.

Spesifikasi Vivo X80 5G

Seterusnya, Vivo X80 5G menawarkan paparan 6.78-inci Full HD+ AMOLED dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Berbeza dengan model Pro, model ini menggunakan MediaTek Dimensity 9000 dengan RAM 12GB dan storan 256GB.

Terdapat tiga buah kamera disediakan pada bahagian belakang telefon pintar ini dengan kamera utama 50MP, kamera ultra lebar 12MP, dan kamera potret 12MP yang juga boleh dijadikan sebagai kamera telefoto.

Baterinya pula sedikit kecil berbanding model Pro iaitu 4,500mAh, namun masih menyokong ciri Flash Charge 80W melalui port USB. Walaubagaimanapun, Vivo X80 5G tidak menyediakan sokongan pengecasan nirwayar.

Harga Vivo X80 Pro 5G dan Vivo X80 5G di Malaysia

Untuk model Vivo X80 5G, telefon ini ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Urban Blue atau Cosmic Black. Manakala bagi X80 Pro 5G pula ia hanya didatangkan dengan warna Cosmic Black sahaja. Anda boleh mendapatkan kedua-dua model ini secara pra-tempahan bermula dari hari ini melalui wakil jualan Vivo yang sah di seluruh Malaysia termasuk Lazada dan Shopee. Berikut adalah harga jualan bagi siri Vivo X80 5G dan X80 Pro 5G di Malaysia.

  • Vivo X80 5G; RAM 12GB, storan 256GB – RM3,499
  • Vivo X80 Pro 5G; RAM 12GB, storan 256GB – RM4,999

Bersempena pelancaran siri Vivo X80 di pasaran Malaysia, Vivo turut menawarkan pelbagai hadiah percuma bernilai sehingga RM1,555 bagi pra-tempahan kedua-dua model ini. Antara yang ditawarkan, Vivo TWS 2e untuk pra-tempahan X80 5G dan Vertical Wireless Flash Charger 50W untuk Vivo X80 Pro 5G. Kedua-dua model ini juga didatangkan dengan jaminan tukaran 1 kepada 1 dalam tempoh 100 hari, bersama-sama waranti lanjutan untuk perlindungan bateri selama 1 tahun.

Tinggalkan komentar