Aplikasi telefon pintar yang boleh digunakan untuk tujuan pengesahan status halal pada produk-produk makanan di pasaraya-pasaraya hiper kini dilancarkan. Ia merupakan aplikasi rasmi pertama yang dilancarkan di rantau ini.
Dikenali sebagai “Verify Halal”, aplikasi ini diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan dibangunkan oleh Serunai Commerce dengan kerjasama Global Halal Data Pool, sebuah repositori bagi produk-produk dan jenama halal di seluruh dunia.
Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menyatakan bahawa penggunaan aplikasi ini memudahkan pengguna dan peniaga memeriksa status halal sebarang produk dengan segera.
“Ia adalah untuk meningkatkan keyakinan pengguna. Verify Halal tidak terhad kepada pangkalan data Jakim sahaja, malah ia juga melibatkan badan pensijilan halal antarabangsa yang diiktiraf Jakim.
“Kami mahu aplikasi ini untuk menjadi rujukan utama jenama halal bagi pengguna global dan meningkatkan integriti industri halal,” katanya sewaktu melancarkan aplikasi telefon pintar berkenaan pada Jumaat baru-baru ini.
Majlis pelancaran ini turut disaksikan bersama Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Dr Ameer Ali Mydin, Ketua Pegawai Eksekutif Serunai Commerce, Amanah Shaari dan Pengasas Global Halal Data Pool dan aplikasi Verify Halal, Fauzi Abdul Hamid.
Sumber berita diperoleh dari The Star













