Kuala Lumpur, Malaysia, 24 Mei 2023 – UOB Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran aplikasi perbankan mudah alihnya yang diperbaharui, UOB TMRW. Aplikasi ‘semua dalam satu’ yang dikuasakan teknologi terkemuka termasuk analisis data, kecerdasan buatan (AI) dan model pembelajaran mesin, menekankan komitmen Bank menyediakan pengalaman perbankan yang lebih mudah, lebih pintar dan lebih diperibadikan untuk pelanggan.
Aplikasi UOB TMRW dibina dengan mempertimbangkan keperluan pelanggan. Ia dilengkapi keupayaan inovatif dan pelbagai dimensi untuk pelaburan, pembayaran dan ganjaran bagi memenuhi keperluan dan pilihan unik setiap pelanggan. Melalui aplikasi ini, pelanggan akan mendapat gambaran keseluruhan mengenai portfolio pelaburan mereka, termasuk maklumat seperti nilai yang ditandakan ke nilai pasaran (mark-to-market) dan prestasi dalam masa nyata, justeru membolehkan mereka menjalankan pengurusan kekayaan dengan mudah di mana-mana sahaja.
Ciri Rewards+ dalam aplikasi pula membolehkan pelanggan melihat mata ganjaran dan menebus kupon UOB dalam masa nyata. Melalui aplikasi ini, pelanggan boleh menebus mata ganjaran mereka untuk pengembaraan, produk dan baucar yang disenaraikan dalam katalog UOB Rewards ataupun mengurangkan baki pada pembelian kad kredit. Kupon yang ditebus juga boleh digunakan untuk menikmati diskaun dan tawaran daripada mana-mana pedagang tempatan dan antarabangsa yang mengambil bahagian.
Di samping itu, Bank akan menggabungkan ciri layan diri yang menyeluruh untuk kad UOB ke dalam UOB TMRW secara berperingkat pada tahun ini. Melalui aplikasi, pelanggan dapat menjalankan perkhidmatan kad seperti pengaktifan kad, peningkatan had kredit sementara, permohonan untuk bayaran ansuran, penggantian kad dan penukaran baki dengan mudah.
UOB Mighty, aplikasi perbankan mudah alih pertama Bank yang dilancarkan pada 2017, membolehkan pelanggan menggunakan telefon pintar mereka sebagai dompet elektronik dan menikmati tawaran makan di restoran yang hebat bukan sahaja di negara ini, bahkan di seluruh rantau.
Sejak itu, Bank telah menambah baik aplikasi ini secara berterusan, khususnya menyepadukan keupayaan AI dengan teknologi kewangan terbaik dalam kelasnya yang memperkasakan pelanggan untuk membuat keputusan kewangan lebih bijak mengenai simpanan dan perbelanjaan mereka. Bank juga perintis dalam memperkenalkan ciri membuka akaun simpanan digital dari hujung ke hujung (end-to-end) pada aplikasi kepada pelanggan baharu tanpa memerlukan mereka mengunjungi mana-mana cawangan.
Encik Ronnie Lim, Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi, UOB Malaysia berkata, “Walaupun aplikasi mudah alih adalah platform paling kerap digunakan untuk perkhidmatan perbankan di negara ini, rakyat Malaysia juga lebih mempercayai transaksi digital yang dilakukan pada aplikasi mudah alih berbanding bentuk saluran penghantaran perkhidmatan lain selepas berlakunya pandemik. Berlandaskan arah aliran ini dan matlamat mengutamakan pelanggan,
UOB telah meningkatkan keupayaan digital kami secara berterusan selain memanfaatkan skala ekonomi untuk mempercepatkan inovasi, terutamanya dari segi pengalaman perbankan digital hiper peribadi (hyper-personalised) dan kepantasan ke pasaran.
“Di UOB, kami komited untuk memahami dan memenuhi keperluan unik setiap pelanggan dan ini dicapai melalui gabungan data dan petunjuk yang diterajui hubungan. Melalui UOB TMRW, Bank menawarkan petunjuk dan penyelesaian sejajar dengan keperluan pelanggan dalam cara yang melibatkan serta menjangkakan matlamat hidup mereka dengan lebih baik.”
Meluaskan jangkauan digital dengan pangkalan pelanggan runcit yang diperbesarkan
Berikutan selesainya pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup oleh UOB di Malaysia pada November 2022, penyepaduan sistem IT ke dalam satu platform kini sedang dijalankan. Pelanggan Citigroup boleh mengakses perkhidmatan dan penyelesaian yang ditawarkan oleh UOB TMRW sebaik penyepaduan ini selesai menjelang suku ketiga tahun ini.
Aplikasi perbankan mudah alih UOB Malaysia, UOB Mighty, akan dikemas kini secara automatik kepada UOB TMRW mulai bulan ini untuk semua pengguna sedia ada. Untuk pengguna baharu, UOB TMRW boleh dimuat turun daripada Google Play, Apple App Store dan Huawei App Gallery. Untuk maklumat lanjut, sila layari uob.my/TMRW.













