TM Unifi baru-baru ini telah mengumumkan kawasan rangkaian pra-5G pertamanya telah siap disediakan di SetiaWalk, Puchong. Menggunakan rangkaian TDD sedia ada sebagai asas bersama-sama implementasi Massive MIMO, rangkaian terbaru dilihat mampu menyediakan kadar celus (throughput) lebih tinggi berbanding rangkaian LTE sedia ada.
Menurut Pemangku Naib Pengerusi Eksekutif Unifi, Encik Moharmustaqeem Mohammed, rangkaian pra-5G terbaru ini mampu mencapai kelajuan sehingga 500Mbps berbanding rangkaian LTE sedia ada yang sekadar mencapai 200Mbps sahaja. Selain itu, beliau turut menyatakan perubahan ini berlaku dengan lancar kerana tidak memerlukan pengguna melakukan penukaran pakej atau peralatan.
Sebab kenapa Unifi memilih melaksanakan rangkaian pra-5G di SetiaWalk di Puchong adalah kerana kepelbagaian pelanggan yang tinggal di dalam kawasan berkenaan, termasuk pelanggan di rumah mahupun perniagaan. Setiap satunya mempunyai kehendak yang berbeza, justeru menyediakan peluang untuk TM menguji keupayaan rangkaian terbarunya berdasarkan pelbagai keadaan dan permintaan.
Bagaimanapun, kelajuan 500Mbps berkenaan tidak semestinya mampu dicapai oleh pengguna-pengguna yang berada di dalam rangkaian tersebut. Hal ini disebabkan oleh secara teknikalnya, rangkaian tanpa wayar kebiasaannya dikongsikan oleh sebilangan pengguna. Oleh yang demikian, kelajuan yang mampu dicapai secara puratanya mungkin sekitar antara 30Mbps hingga 80Mbps.
Apa pun, kelajuan ini jauh lebih baik dari rangkaian LTE Unifi sedia ada yang mana terdapat sesetengah pengguna yang hanya sekadar mendapat kelajuan 5Mbps bagi yang bersambungan dengan peranti berasaskan FDD. Untuk pelanggan yang dapat bersambung dengan peranti berasaskan TDD pula, kelajuannya mampu ditingkatkan sehingga 20Mbps.
Setakat ini, Unifi tidak menyatakan adakah rangkaian pra-5G ini akan diperluaskan ke seluruh negara.
Sumber berita diperoleh dari The Star













