TM memperkenalkan pas bulanan baharu untuk pengguna prabayar Unifi Mobile yang kini hadir dengan kuota data berbanding sebelum ini yang menawarkan pas data tanpa had. Pelan prabayar yang menawarkan data 4G dan juga 5G ini diletakkan di bawah jenama Uni5G.
Apabila Uni5G pertama kali dilancarkan, hanya pas prabayar bulanan tanpa had RM35 yang menawarkan data tanpa had 4G dan 5G bersama-sama panggilan tanpa had dan hotspot 10GB.
Pelan RM25 baharu ini memberikan anda kuota penggunaan data dan hotspot 30GB. Setidaknya pelan ini menyatakan dengan jelas kuota data yang ditawarkan berbanding pelan “tanpa had” yang mempunyai Polisi Penggunaan Saksama (FUP) yang baru-baru ini dikurangkan dari 100GB kepada 60GB.
Kuota panggilan tidak disediakan untuk pelan ini dan kadar panggilan 20 sen bagi setiap minit akan dikenakan. Pengguna juga boleh boleh mendapatkan pembelian tambahan RM7 bagi waktu berbual sebanyak 60 minit.
Untuk pas bulanan RM35 pula kuota hotspot yang sebelum ini 10GB kini telah dikurangkan kepada 5GB sejak dari 9 Februari yang lalu.
Uni5G masih lagi menawarkan pas tanpa had mingguan pada harga RM12 dengan hotspot 3GB, pas tanpa had harian pada harga RM3 dengan hotspot 1GB dan pas tanpa had dua jam pada harga RM1 tanpa kuota hotspot. Pas mingguan dan harian mempunyai had FUP masing-masing pada 20GB dan 10GB, dan ia juga tidak mempunyai kuota panggilan.













