TM secara rasminya telah mengumumkan berkas baharu peranti untuk pelan fiber unifi Home.
Pelan sebahagian dari kempen unifi Your World ini membolehkan pelanggan memilih sama ada menyertakan TV pintar atau laptop ke dalam pelan fiber masing-masing.
Ditawarkan untuk pelan 100Mbps dan ke atas, para pelanggan boleh memilih sama ada TV pintar LG UN73 Series 4K atau laptop Acer TravelMate P214.
Spesifikasi laptop Acer TravelMate P214 untuk pelan unifi Home Fiber
Menurut dokumen soalan lazim di laman web unifi, harga bagi TV dan laptop berkenaan mempunyai harga yang sama, iaitu RM 2,799.
Bagi anda yang tertanya-tanya apakah spesifikasi laptop Acer TravelMate P214 berkenaan, dokumen soalan lazim tersebut turut menjelaskan ia dilengkapkan dengan
- CPU Intel Core i3-10110U
- RAM 4GB
- SSD 256GB
Para pelanggan pertama kali juga dikehendaki membuat bayaran pendahulu RM 200 dan perlu diselesaikan dalam tempoh 10 hari dari tarikh pengaktifan. Pelanggan sedia ada pula tidak perlu membuat bayaran pendahuluan tersebut, tetapi masih bergantung pada semakan kredit masing-masing.
Harus diingat, juruteknik unifi yang melaksanakan pemasangan di kediaman pelanggan tidak akan membawakan unit TV atau laptop bersama-sama. Peranti berkenaan hanya akan dihantar secara berasingan dalam tempoh 30 hari bekerja selepas pengaktifan selesai.
Berikut adalah harga langganan pelan berkas unifi Home Fibre Smart Devices:
- 100Mbps: RM 228
- 100Mbps + unifi Plus Box: RM 288
- 300Mbps + unifi Plus Box: RM 298
- 500Mbps + unifi Plus Box + TP-Link Deco M9 Plus Mesh Wi-Fi: RM 338
- 800Mbps + unifi Plus Box + TP-Link Deco M9 Plus Mesh Wi-Fi: RM 438
Seperti biasa, pelan berkas ini hadir dengan ikatan kontrak selama 24 bulan. Layari laman web rasmi unifi untuk keterangan lanjut.













