Pasaran fon putik (earbuds) TWS semakin kompetitif, mendorong jenama-jenama besar seperti Samsung menawarkan variasi “Fan Edition” yang lebih mampu milik, tanpa mengorbankan asas pengalaman mercunya.

Samsung Galaxy Buds3 FE dilancarkan dengan harga rasmi RM499. Ia disasarkan kepada pengguna yang mahukan audio premium, kawalan pintar serta ciri-ciri penting seperti ANC. Namun pada harga yang lebih mampu milik.

Tidak sekadar ditujukan khas kepada pengguna tegar Samsung, model FE ini turut cuba menarik minat mereka yang mahukan fon telinga serba boleh. Turut ditawarkan pemakaian kemas dan selesa serta prestasi mantap untuk pelbagai aktiviti harian.

Antara ciri tumpuan yang diperhalusi termasuklah rekaan bilah (blade design) yang lebih premium. Kawalan sentuhan intuitif, serta pembatalan hingar aktif (ANC) juga disediakan sebagaimana pada modelnya yang lebih premium.

Artikel ini akan mengupas pengalaman sebenar penggunaan Buds3 FE serta menilai kelebihan, kekurangan, dan siapa yang paling sesuai memilikinya.

Harga Samsung Galaxy Buds3 FE di Malaysia

Samsung Galaxy Buds3 FE secara rasminya dijual pada harga RM499 di Malaysia bermula dari 19 September 2025 dan boleh didapati dengan pilihan warna Hitam dan Kelabu. Harganya lebih tinggi sebanyak RM100 berbanding Galaxy Buds FE ketika dilancarkan yang pada ketika itu berharga RM399.

Kelebihan dan Kekurangan

Kelebihan

  • Selesa
  • Bunyi yang baik
  • Mikrofon berkualiti; Menghasilkan ANC, dan kejelasan ketika panggilan dengan baik

Kekurangan

  • Ciri-ciri terbaik hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan telefon pintar Samsung sahaja
  • Tiada auto-jeda (auto-pause)
  • Tiada pengecasan nirwayar

Rekabentuk

Samsung mengekalkan reka bentuk bertangkai “Blade” yang mula diperkenalkan pada Galaxy Buds3. Kali ini diperhalusi untuk model FE dengan fokus kepada keselesaan jangka panjang.

Bentuk ergonomik ini hasil daripada pemodelan komputasi lanjutan dan ujian kebolehpakaian yang meluas, bertujuan mengurangkan tekanan pada telinga semasa pemakaian berpanjangan.

Tersedia dalam dua pilihan warna iaitu Hitam dan Kelabu, kedua-duanya dilengkapi kemasan matte yang halus. Memberikan penampilan minimalis dan sofistikated untuk kegunaan harian. Pada pandangan kami, keselesaan adalah salah satu kekuatan utama Buds3 FE, menjadikannya sesuai untuk digunakan untuk tempoh yang panjang.

Reka bentuk bertangkainya turut membawakan fungsi. Permukaan “Blade” berfungsi sebagai kawalan sentuhan untuk navigasi dan pelarasan kelantangan. Tiada tombol fizikal yang mengganggu, sebaliknya gerak isyarat picitan (pinch) dan sapuan (swipe) yang lancar dan intuitif.

Prestasi

Buds3 FE dilengkapi driver 1-way yang menyampaikan bunyi seimbang dengan penekanan pada kedalaman dan dimensi. Ciri 360 Audio yang disertakan mencipta pengalaman audio spatial yang mensimulasikan bunyi sekeliling. Ia juga memberikan lapisan dan kedalaman kepada setiap not muzik, sesuatu keunikan untuk fon putik pada harga ini.

Pada pandangan kami, kualiti bunyinya dikirakan sebagai baik untuk kelasnya, dengan hujung bass yang cukup mantap tanpa mengaburkan mid dan treble. Codec yang disokong termasuk AAC, SBC, dan SSC (Samsung Seamless Codec) dioptimumkan untuk peranti Galaxy. Ia dapat memastikan penghantaran audio lancar dan kualiti tinggi dalam ekosistem Samsung.

Walaubagaimanapun, pengguna audiophile yang mengharapkan codec resolusi tinggi seperti LDAC atau aptX mungkin kecewa. Ini kerana Buds3 FE tidak menyokong format tersebut.

Namun, untuk penggunaan harian yang santai seperti mendengar muzik, podcast, ceramah dan penstriman video, prestasi yang ditawarkan lebih daripada memadai.

Keupayaan ANC yang amat baik pada Buds3 FE boleh dikatakan agak mengejutkan bagi sesebuah fon putik pada harga RM499. Active Noise Cancellation atau ANC berfungsi mengurangkan hingar latar seperti bunyi lalu lintas di jalan raya, atau suasana bising di pasar malam membolehkan pengguna fokus kepada audio mereka tanpa gangguan. Mod Ambient Sound pula membenarkan bunyi persekitaran masuk apabila diperlukan, sesuai untuk pengguna peka dengan keadaan semasa di sekeliling.

Kualiti panggilan dipertingkatkan melalui model pembelajaran mesin (machine learning, ML) yang telah dipralatih, menganalisis corak suara dan bunyi ambien untuk menapis hingar. Ia bertujuan memastikan suara pengguna disampaikan dengan jelas walaupun dalam persekitaran bising. Hasil penggunaan 6 mikrofon yang ditempatkan dengan strategik, Buds3 FE mampu menangkap suara dengan tepat dan memberikan pengalaman komunikasi yang lebih hidup.

Kawalan dan Integrasi Galaxy AI

Kawalan pada Buds3 FE direka dengan gerak isyarat yang mudah dan intuitif. Pengguna boleh memicit (pinch) sekali untuk main/jeda, dua kali untuk lagu seterusnya, tiga kali untuk lagu sebelumnya. Untuk pelarasan kelantangan, sapukan (swipe) ke atas atau ke bawah pada permukaan “Blade” untuk memberikan kawalan tepat tanpa perlu membuka telefon pintar.

Integrasi Galaxy AI membawa pengalaman yang lebih pintar. Pengguna boleh mengaktifkan Gemini dengan sekadar menyebut “Hey Google” atau pinch dan tahan earbud, membolehkan akses kepada bantuan AI untuk tugasan harian, peringatan, atau pertanyaan. Semuanya dapat dilakukan tanpa mengeluarkan telefon.

Ciri Interpreter juga disokong untuk terjemahan masa nyata. Dalam mod mendengar, picit dan pegang tangkai fon putik untuk mendengar terjemahan berterusan semasa penutur bercakap. Di dalam mod perbualan pula, letakkan mikrofon telefon ke arah penutur dan picit ringkas untuk mendengar terjemahan terus di telinga.

Ia dapat menjadikan komunikasi merentasi bahasa lebih lancar dan bebas tangan. Auto Switch pula disediakan bagi mengekalkan kesinambungan audio antara peranti-peranti Galaxy.

Bateri

Bateri fon putik berkapasiti 53 mAh dan bekas pengecasnya berkapasiti 515 mAh menyediakan sehingga 6 jam main balik dengan ANC dihidupkan atau sehingga 24 jam dengan bekas.

Untuk penggunaan tanpa ANC ia boleh digunakan sehingga 8.5 jam atau sehingga 30 jam dengan bekas. Tempoh tersebut memadai untuk penggunaan seharian.

Untuk kegunaan panggilan pula, ia boleh bertahan sehingga 4 jam atau sehingga 18 jam bersama bekasnya. Pengecasan boleh dilakukan dengan melalui kabel USB-C pada bekasnya. Cuma kabelnya tidak disertakan dalam kotak pembungkusan Galaxy Buds3 FE.

Ciri Ketahanan dan Kotak Pembungkusan

Buds3 FE diiktiraf dengan IP54 untuk rintangan debu dan air, memberikan perlindungan asas terhadap peluh dan percikan air. Ini menjadikannya sesuai untuk senaman ringan atau penggunaan dalam cuaca tidak menentu, tetapi tidak disyorkan untuk direndam atau digunakan semasa hujan lebat.

Dalam kotak, Samsung menyertakan tiga pasang putik, bersaiz S dan, L dengan saiz M telah sedia diapsangkan. Ia bertujuan untuk menyesuaikan dengan saiz telinga pengguna yang berbeza.

Turut disediakan bersama selain bekas pengecas di dalam kotak tersebut terdapat helaian panduan permulaan pantas. Ketiadaan kabel USB Type-C adalah satu-satunya kekurangan dari segi aksesori disediakan di dalamnya, namun kebanyakan pengguna kini sudah memiliki kabel yang serasi.

Kesimpulan

Samsung Galaxy Buds3 FE adalah pilihan TWS yang sangat berbaloi pada harga RM499 untuk pengguna ekosistem Galaxy. Ia memfokuskan kepada asas yang penting iaitu bunyi berkualiti, ANC berkesan, keselesaan sepanjang hari, dan integrasi pintar tanpa membebankan poket pengguna dengan harga premium.

Tinggalkan komentar