HONOR telah mengumumkan empat buah model telefon pintar peringkat menengah terbarunya menerusi siri HONOR X baru-baru ini. Untuk kali ini, kami berpeluang mengulas serba sedikit mengenai salah satu model daripada siri berkenaan, HONOR X9 5G.
Paling mencuri tumpuan bagi telefon pintar ini pastinya pada ciri rekabentuk bahagian belakangnya. Ia hadir dengan bentuk bulat pada bonggol yang menempatkan kamera-kameranya. Selain itu, permukaan belakang HONOR X9 5G juga menampilkan kemasan warna matte satin yang boleh berubah-ubah warnanya.
Butang kawalan bunyi dan kuasanya ditempatkan pada sebelah kanan dengan pengimbas cap jari terbina di dalam butang kuasa berkenaan. Memandangkan telefon ini hadir rekaan bingkai yang terlalu tipis, corong audionya telah dialihkan ke bahagian sisi atasnya.
Pada bahagian bawahnya pula menempatkan satu pembesar suara, port USB-C dan satu dulang kad SIM. Bagaimanapun, tiada slot kad mikroSD disediakan.
Secara keseluruhan, kualiti binaan telefon pintar ini boleh dikatakan agak mantap dengan bulatan bonggol kameranya menambahkan keunikannya lagi.
Paparan HONOR X9 5G
HONOR X9 5G didatangkan dengan paparan HONOR FullView 6.82-inci dengan nisbah skrin-ke-badan setinggi 94%, menjadikan bingkainya amat nipis. Kadar penyegaran semula paparannya menyediakan pilihan di antara 60Hz dan 120Hz.

Anda juga boleh menyesuaikan suhu warna paparannya mengikut kesesuaian anda. Selain itu, pelbagai mod paparan disediakan seperti Dark Mode, eBook Mode, dan Eye Comfort. Telefon ini juga hadir dengan persijilan TuV Rheinland Low Blue Light bagi paparannya.
Kamera HONOR X9 5G
Kamera bukanlah kekuatan utama HONOR X9 5G. Ia hadir dengan konfigurasi tri-kamera bagi kamera belakangnya melalui satu kamera 48MP, dan dua kamera 2MP. Tiada kamera ultra-lebar disediakan bagi telefon ini.
Bagi fotografi dalam keadaan kurang pencahayaan, kamera utama 48MP dengan lensa f/1.8 mampu mengambil sejumlah perincian imej dengan baik. Ia juga mampu mengambil foto imej berjarak dekat dengan baik.
Bagi menambahbaik kualiti fotografinya, HONOR X9 5G turut menyediakan sokongan pemprosesan pasca secara kecerdasan buatan (AI) bagi mod-mod fotografi terpilih.
Selain mod super makro, pelbagai mod kamera lain turut disediakan. Antaranya HDR, night, panorama, high resolution dan sebagainya.
Untuk rakaman video pula, HONOR X9 5G hanya menyokong rakaman dengan kualiti 1080p sahaja dan ia tidak menyertakan sokongan penstabil imej sama ada OIS mahupun EIS.
Berikut adalah sebagaian contoh imej-imej yang ditangkap menggunakan kamera HONOR X9 5G ini.
Prestasi HONOR X9 5G
Melalui kuasa pemprosesan Qualcomm Snapdragon 695, HONOR X9 5G turut menyediakan sokongan rangkaian 5G. Ia juga haidr dengan kapasiti RAM 8GB dan juga storan dalaman 128GB.
Membuka dan bertukar-tukar antara aplikasi yang aktif dapat dilakukan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Ia juga mampu memainkan permainan dengan grafik berintensiti tinggi seperti Asphalt 9 dan Genshin Impact dengan baik dalam tetapan kualiti grafik pada tahap sederhana.

Bateri bagi telefon pintar ini hadir dengan kapasiti 4,800mAh yang turtu menyokong pengecasan HONOR SuperCharge sehingga 66W.
Kesimpulan
HONOR X9 5G boleh dikirakan sebagai telefon pintar peringkat menengah yang agak mantap bersesuaian dengan harganya iaitu RM1,299. Ia menyediakan paparan berskrin besar dan lancar serta kapasiti bateri yang boleh tahan dengan sokongan rangkaian 5G.
Telefon ini sesuai bagi pengguna yang ingin menikmati hiburan dan permainan pada grafik sederhana pada harga yang berpatutan. Keupayaan fotografi dan rakaman video yang disediakan adalah sepadan dengan harganya. Namun, melalui sokongan AI yang disediakan, anda mampu mendapatkan kualiti imej yang memuaskan.
Pun begitu, keupayaan prestasi dan juga kecekapan pemprosesan yang ditawarkan oleh HONOR X9 5G amat berpadanan dengan harga yang ditawarkan.
Harga dan Spesifikasi HONOR X9 5G
- Qualcomm Snapdragon 695 5G, 6nm Process
- Qualcomm Adreno 619 GPU
- RAM DDR4x 8GB DDR4x + RAM Expansion 2GB
- storan 128GB (tiada slot kad mikroSD)
- Paparan HONOR FullView (2,388 x 1,080) FHD+ IPS 6.81-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz
- Kamera belakang: 48MP f/1.8 (utama), makro 2MP & berkedalaman 2MP
- Kamera depan: 16MP f/2.45
- Bateri 4,800 mAh dengan sokongan HONOR SuperCharge 66W
- Antaramuka MagicUI 4.2 berasaskan Android 11
- Dwi-jalur Wi-Fi AC, Bluetooth 5.0
- Pilihan warna: Titanium Silver, Ocean Blue, Midnight Black
- Harga: RM 1,299
HONOR X9 5G kini boleh didapati di pasaran Malaysia pada harga RM1,299. Maklumat lanjut, kunjungi laman Honor Malaysia di https://www.hihonor.com/my/phones/honor-x9-5g/













