HONOR 400 Pro menawarkan pengalaman telefon pintar mercu yang hampir menyeluruh dengan harga yang kompetitif. Ia bukanlah telefon pintar pertama yang menawarkan kombinasi tersebut atau yang paling murah, namun tetap menambat hati.
Prestasi yang mantap, kamera yang diperkasakan AI, dan skrin yang cemerlang, HONOR 400 Pro mampu memberikan kepuasan kepada pengguna. Cuma, antaramukanya (UI) mungkin ada yang berpandangan ia kelihatan seperti cuba mengikuti iOS.
Harga HONOR 400 Pro di Malaysia
Selepas hadir dengan iklan-iklan acah menjelang pelancarannya, HONOR secara rasminya telah membawakan telefon pintar peringkat menengah premiumnya HONOR 400 dan HONOR 400 Pro ke pasaran Malaysia. Ia merupakan kesinambungan dari siri HONOR 200 dengan membawakan peningkatan prestasi, kamera, paparan dan ciri AI Image to Video baharu.
Di Malaysia siri HONOR 400 dijual pada harga berikut:
- Honor 400 (12GB+256GB) – RM1,899
- Honor 400 (12GB+512GB) – RM2,199
- Honor 400 Pro (12GB+512GB) – RM2,699
Anda boleh mendapatkan siri HONOR 400 melalui laman web rasminya serta di Shopee dan Lazada.
Spesifikasi
Ukuran: | 160.8mm x 76.1mm x 8.1mm |
Berat: | 205g |
Paparan: | 6.7-inci 1.5K (2800 x 1280) sehingga 120Hz AMOLED |
Pemprosesa: | Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 |
RAM: | 12GB |
Storan: | 512GB |
Sistem Operasi: | Android 15 melalui MagicOS 9.0 |
Kamera utama: | Kamera utama 200MP (f/1.9)
Kamera ultra-lebar 12MP (f/2.2) Kamera telefoto 50MP with 3x zoom (f/2.4) Kamera hadapan 16MP |
Bateri: | 5,300mAh |
Pengecasan: | Berwayar 100W, nirwayar 50W |
Warna: | Lunar Grey, Midnight Black |
Kelebihan dan Kekurangan HONOR 400 Pro
Kelebihan
- Paparan yang cemerlang
- Kamera yang padu dengan AI berkuasa
- Prestasi yang mantap
Kekurangan
- Antaramuka yang cuba meniru iOS
Rekabentuk
HONOR tidak lagi membawakan rekaan modul kamera diinspirasikan dari Casa Milá sebagaimana yang terdapat pada HONOR 200 Pro sebelum ini pada HONOR 400 Pro. Kali ini modul-modul kameranya menampilkan reka bentuk trapezium membulat yang unik berbanding rekaan modul kamera telefon pintar di pasaran masa kini.
Selain dariapda itu rekaan asasnya masih lagi dikekalkan berbanding model HONOR 400 yang kelihatan mirip dengan iPhone.
Oleh yang demikian, HONOR 400 Pro mengekalkan reka bentuk membulat dengan kaca 2.5D pada bahagian hadapan dan belakangnya yang kini dirasakan lebih ‘lembut’ apabila dipegang. Kerangka aluminiumnya yang melengkung memberikan genggaman yang lebih selesa.
Ini kerana HONOR 400 Pro boleh dikirakan sebagai telefon pintar yang agak besar dengan ketebalan 8.1mm dan seberat 205 gram. Ia berbeza dengan HONOR 400 yang mempunyai ketebalan 7.3mm dan berat 184 gram.
Telefon pintar peringkat menengah premium ini juga mempunyai persijilan IP68 dan IP69, peningkatan dari HONOR 200 Pro yang mempunyai penarafan IP65. Hadir dengan dua sahaja pilihan warna, Lunar Grey dan Midnight Black, HONOR 400 Pro memberikan rupa bentuk yang kemas dan profesional.
Paparan
HONOR benar-benar memberikan yang terbaik untuk paparan siri HONOR 400 tahun ini dengan menawarkan OLED 6.7-inci beresolusi 2800 x 1280 dan kadar penyegaran semula 120Hz. Kecerahan puncaknya juga dipertingkatkan dari 4,000 nits pada HONOR 200 Pro, kepada 5,000 nits. Bagaimanapun ia hanya terhad di dalam senario HDR sahaja.
Kejituan warnanya juga cemerlang apabila anda menggunakan mod warna Normal. Paparannya ini juga menyokong kadar pemalapan PWM 3840MHz, sama seperti HONOR 200 Pro sebelum ini. Ia membantu mengurangkan keletihan mata dengan merendahkan kadar kerlipan pada paras kecerahan yang rendah.
Beza besar antara skrin ini dengan HONOR 400 lebih kepada ciri estetikanya sahaja. Pro Display ini melengkung pada tepinya yang tidak mengganggu kandungan yang dipaparkan atau menyebabkan sentuhan yang tidak disengajakan.
Kamera
Sama seperti paparannya, HONOR turut mempertingkatkan penawaran kamera siri HONOR 400 dengan kali ini HONOR 400 Pro menampilkan kamera utama AI 200MP baharu yang dimuatkan dengan sensor 1/1.4-inci, apertur f/1.9 dan OIS.
Tanpa menggunakan ciri-ciri AI yang disediakannya pun ia mampu memberikan tangkapan gambar yang jitu dan berkontras dalam kebanyakan situasi. Anda boleh memilih dari tiga gaya asas bergantung sama ada semula jadi, media sosial atau berseni estetik.
Foto potret dengan sentuhan Harcourt Studio yang pertama diperkenalkan pada siri HONOR 200 tahun lalu masih lagi dikekalkan pada siri kali ini. Bersama-sama sensor baharu dan juga pemprosesan yang telah dipertingkatkan mod potret telefon pintar model ini kelihatan lebih padu.
Berbeza dengan model standard, HONOR 400 Pro mempunyai sokongan dari kamera telefoto 50MP untuk mengambil foto zum. Memanfaatkan sensor Sony IMX856 dengan bantuan OIS, anda mampu mengambil gambar jarak jauh yang jelas pada zum 3x, serta gambar yang baik pada 6x dan juga 10x. Lebih dari tahap tersebut, imej yang ditangkap tidak begitu cantik dan memerlukan sokongan AI untuk memperelokkannya.
@harianteknologi Fotografi HONOR 400 Pro pada waktu malam. Telefon pintar ini mempunyai spesifikasi kamera: ✅200MP Main Camera, OIS + ✅EIS,1/1.4-inch super sensor ✅50MP Telephoto, OIS + EIS with 15x to 50x zoom in ✅12MP Macro & Wide Camera 50MP Selfie Camera #honor400series #honor400pro #honormalaysia #nextgenaiimaging
Kualiti dari hasil tangkapan pula amat bergantung pada situasi dengan wajah manusia pada kebiasaannya kelihatan aneh terutamanya pada jarak maksimum 50x. Transisi antara 3x dengan 2x pula kelihatan terlalu ketara perubahannya terutama pada tahap terang warnanya.
Pun begitu, telefoto kameranya ini memberikan lebih fleksibiliti dan ruang kreativiti untuk kita mengambil gambar yang lebih berkualiti.
Kamera ultra-lebar 12MP pada telefon pintar ini merupakan yang paling sendu antara ketiga-tiganya terutama dari segi perincian dan kontrasnya. Namun, ia masih lagi boleh dikirakan sebagai kamera yang baik.
Contoh Foto HONOR 400 Pro
AI Image to Video
@harianteknologi Features Al Image to Video kat dalam HONOR 400 Pro. Korang boleh tukarkan apa-apa gambar statik ke dalam bentuk video untuk menjadikan foto-foto kenangan anda menjadi lebih hidup. #honor #honor #honor400pro @honormalaysia
Berbalik kepada ciri AI yang paling menarik perhatian pada HONOR 400 Pro – Image to Video. Siri HONOR 400 merupakan yang pertama menggunakan ciri dipacukan Google AI yang secara asasnya menukarkan foto pegun biasa kepada video kontot 5 saat.
Sebagaimana ciri-ciri AI yang ditawarkan di pasaran masa kini, hasil yang dijanakan bergantung keadaan. Ada masanya hasilnya kelihatan mengarut dan ada masanya ia memberikan hasil yang amat ‘WOW’ gitu.
Prestasi
Berbanding Snapdragon 8s Gen 3 yang digunakan pada HONOR 200 Pro tahun lepas, HONOR 400 Pro kali ini menggunakan Snapdragon 8 Gen 3. Ini tentunya membawakan peningkatan prestasi yang berganda terutamanya dari segi keupayaan grafik.
Dalam erti kata lain, prestasinya setanding dengan telefon pintar mercu keluaran tahun 2024 dan mengatasi keseluruhan model siri Pixel 9. Seperti yang dijangkakan, permainan seperti Genshin Impact dapat dimainkan dengan lancar pada tetapan tinggi. Malah, permainan perlumbaan kereta berkeperluan grafik tinggi GRID Legends juga dapat ditampung dengan baik.
Ia bukanlah menyamai model-model mercu keluaran tahun ini yang menggunakan Snapdragon 8 Elite, namun untuk harganya dan kuasa prestasinya ia sememangnya amat berbaloi. Tambahan pula, HONOR dilihat amat bermurah hati dengan menawarkan storan dalaman berkapasiti 512GB bersama-sama RAM 12GB untuk telefon pintar ini.
Perisian
HONOR 400 Pro menggunakan antaramuka Magic OS 9.0 berasaskan sistem operasi Android 15, jenis yang sama digunakan pada Magic 7 Pro. Antaramuka ini secara keseluruhannya adalah baik, namun didatangkan bersama-sama aplikasi sarap seperti Booking.com, Temu, ReelShort dan sebagainya. Mungkin ada sesetengah pengguna berminat untuk menggunakannya, tetapi bagi sesetengah yang lain mungkin akan menyahpasangnya.
Sungguhpun ia berasaskan Android, dari segi seni rekabentuknya ia lebih cenderung kepada sistem operasi mudah alih Apple, iOS. Segalanya dari jendela notifikasi hinggalah ke menu tetapan, serta ketiadaan dulang aplikasi di dalam tetapan secara lalai telah membuktikan kecenderungan tersebut. Dari sudut positif, ia memudahkan pengguna yang baharu sahaja beralih dari iPhone ke ekosistem Android.
Malahan ciri yang diinspirasikan dari Apple Dynamic Island turut disediakan menerusi Magic Capsule. Ia merupakan widget busa maklumat yang diletakkan pada takuk yang menempatkan kamera hadapan. Fungsinya selain menyediakan maklumat ringkas aplikasi yang sedang digunakan, turut melibatkan kawalan media, dan juga pemasa.
Tidak ketinggalan, ciri Magic Portal memudahkan pengguna mengheret teks dan imej di antara aplikasi-aplikasi. Selain itu, anda juga boleh menggunakan gestur ruas (knuckle gesture) untuk membulatkan teks bagi tujuan carian segera menggunakan enjin carian Google.
HONOR juga komited untuk menyediakan kemaskini Android 16 menjelang penghujung 2025 bagi telefon pintar ini selain turut menawarkan sokongan kemaskini sistem operasi dan keselamatan untuk tempoh enam tahun.
Bateri
HONOR dilihat berusaha melonjakkan teknologi bateri dan pengecasan pada peranti-peranti keluarannya termasuk HONOR 400 Pro. Telefon pintar ini mempunyai bateri berkapasiti 5,300mAh yang mampu bertahan bagi kegunaan yang berat lebih dari sehari suntuk. Bagi kegunaan biasa pula ia boleh bertahan sekitar dua hari untuk sekali cas.
Bercakap mengenai pengecasan, HONOR 400 Pro menawarkan sokongan pengecasan berwayar 100W yang mampu mengecas dari paras sifar ke separuh kapasiti dalam tempoh sekitar 15 minit. Seperti biasa, HONOR tidak lokek untuk menyediakan bersama-sama palam pengecas 100W di dalam kotak pembungkusan telefon pintar ini.
Selain sokongan pengecasan berwayar tersebut, HONOR 400 Pro juga mempunyai sokongan pengecasan nirwayar 50W melalui pengecas HONOR SuperCharge.
Kesimpulan
Sokongan AI bagi kegunaan mempertingkatkan imej jarak jauh serta menjana video berdasarkan imej pegun juga memberikan nilai tambah buat telefon pintar ini. Tambahan pula bagi anda yang terbiasa dengan antaramuka iOS, penggunaan Magic OS 9.0 dapat membantu dalam meningkatkan pengalaman kepenggunaan anda. Bagaimanapun, antaramuka pengguna ini mungkin diperdebatkan bagi segelintir pengguna memandangkan soal keselesaan antaramuka ini agak subjektif.
HONOR 400 Pro menawarkan keupayaan dan ciri-ciri yang menghampiri sesebuah telefon pintar mercu pada harga peranti menengah. Berbanding dengan model-model lain yang setara dengannya, apa yang ditawarkan olehnya boleh dianggap sebagai premium.