Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo telah mengumumkan ujian pelaksanaan teknologi rangkaian 5G bakal dilaksanakan bermula bulan hadapan, April 2019. Menurut sebuah tweet yang dikeluarkan oleh Twitter Jabatan Penerangan, tempoh pengujian teknologi rangkaian berkenaan akan memerlukan masa sehingga enam bulan.
Putrajaya dan Cyberjaya dipilih sebagai lokasi untuk ujian pelaksanaan tersebut dijalankan. Bagaimanapun, tiada sebarang butiran lebih terperinci dimaklumkan mengenai pengujian tersebut.
Malaysia akan memulakan ujian pelaksanaan teknologi generasi kelima – 5G fasa pertama bagi tempoh enam bulan di Putrajaya dan Cyberjaya April depan – @GobindSinghDeo https://t.co/r2Mxh23ze0
— Jabatan Penerangan (@JPenerangan) March 4, 2019
Teknologi rangkaian tanpa wayar 5G dikatakan bakal menawarkan teknologi pemancaran yang lebih terkini. Antaranya termasuklah penggunaan antena agam berganda, Massive-MIMO (Multiple-Input Multiple-Output), peningkatan modulasi, penggunaan gelombang millimeter, komunikasi peranti-ke-peranti, serta pelbagai lagi teknologi pemancaran yang masih dalam peringkat penyelidikan.
Rangkaian 5G perlu menggunakan spektrum frekuensi radio lebih tinggi daripada sedia ada untuk mendapatkan kadar data yang lebih tinggi. Dijangkakan teknologi rangkaian 5G menggunakan gelombang bersaiz millimeter, yang terletak pada frekuensi antara 30GHz hingga 60 GHz.
Sebagai perbandingan, Rangkaian 4G di Malaysia menggunakan frekuensi 2.6 GHz. Manakala untuk WiFi pula, frekuensi yang digunakan adalah 2.4 GHz dan seterusnya rangkaian 3G adalah pada 1.8 GHz.
Sumber berita diperoleh dari Twitter Jabatan PeneranganÂ













