U Mobile telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) secara rasmi dengan Huawei Technologies Malaysia bersempena dengan penganjuran Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) 2026.
Kesepakatan ini dimeterai bagi memacu inovasi digital, mencipta bersama penyelesaian teknologi baharu, serta memupuk ekosistem inovasi mampan yang dikuasakan oleh teknologi 5G-Advanced (5G-A), Kecerdasan Buatan (AI), dan teknologi pesat membangun yang lain.
Kerjasama strategik ini secara tidak langsung menyokong matlamat transformasi U Mobile untuk membangunkan aplikasi berteknologi tinggi di samping memperkasakan ekonomi digital di Malaysia.
Di bawah perjanjian ini, kedua-dua pihak akan melaksanakan pelbagai ujian pemerkasaan rangkaian, termasuk ujian dwi-pembawa 5G pada frekuensi 3.5GHz bagi menilai bagaimana pengendali telekomunikasi boleh mengoptimumkan sumber spektrum dengan lebih cekap.
Data daripada hasil ujian ini akan bertindak sebagai panduan bagi perancangan spektrum, pembuatan dasar, dan pelancaran perkhidmatan generasi akan datang.
U Mobile juga bersedia untuk meneroka pengintegrasian AI di dalam operasi rangkaian mereka bagi menangani kerumitan permintaan digital baharu melalui penubuhan rangkaian pintar dan berautonomi.
“Menurut Zac Chow, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, kerjasama dengan U Mobile ini akan membuka kelebihan yang ketara dalam kecekapan spektrum dan memberikan pengalaman pengguna yang lebih pantas dan stabil. Melalui kerjasama erat kami dengan U Mobile, kami sedang memacu pelaksanaan praktikal bagi 5G-A dan penyelesaian rangkaian yang dikuasakan oleh AI.”
Antara pencapaian inisiatif ini termasuklah:
- Pengoptimuman Spektrum: Percubaan penggunaan ciri 5G termaju termasuk teknologi pengagregatan pembawa 3CC dalam ujian dwi-pembawa.
- Pengalaman Permainan: Reka bentuk dan pembangunan perkhidmatan permainan berdaya 5G-A yang memanfaatkan pemotongan rangkaian 5G (network slicing) untuk mengurangkan isu kependaman (latency) serta meningkatkan kestabilan.
- Kelajuan Jalur Lebar Terpantas: Rekod kelajuan muat turun kemuncak mencecah 3.2Gbps berjaya dicapai menggunakan spektrum jalur-C 100MHz semasa ujian utiliti sebenar di sebuah menara kediaman berkepadatan tinggi di Kuala Lumpur pada Disember 2025.
- Perkakasan Bertaraf Dunia: Ujian kelajuan tinggi tersebut dilaksanakan dengan penggunaan Single-User-8 Customer Premises Equipment (CPE), iaitu peranti komersial pertama di dunia yang menyokong piawaian 3GPP New Radio (NR) MIMO untuk sambungan 5G.
Kerjasama antara U Mobile dan Huawei ini memperlihatkan kelangsungan komitmen penyedia perkhidmatan selular tempatan dalam menerima pakai inovasi terkini bagi menyokong keperluan sambungan tanpa wayar yang semakin kompleks.
Pencapaian ujian kelajuan 5G-A ini sekaligus membuktikan keupayaan rangkaian masa depan Malaysia dalam mengendalikan penyaluran jumlah data yang besar secara serentak, khususnya kepada isi rumah di kawasan bandar yang padat,













