Twitter telah mula menghadkan jumlah ‘tweet’ yang boleh dibaca oleh penggunanya dalam sehari. Sekitar petang semalam waktu tempatan, Elon Musk menyatakan pihak syarikatnya akan menyekat bacaan ‘tweet’ sebanyak 600 sehari untuk akaun yang belum disahkan dan 300 sehari untuk akaun baharu diwujudkan.

Dalam pada masa yang sama, Twitter membenarkan akaun yang disahkan (Twitter Blue) membaca sehingga 6,000 ‘tweet’ dalam sehari. Pengguna yang melepasi had tersebut akan menerima notis ralat penggunaan ymelebihi had.

Kurang dari dua jam kemudian, Musk mengumumkan menerusi Twitter had tersebut “kelak” akan dinaikkan kepada 8,000 tweet sehari untuk pengguna sah. Manakala untuk pengguna yang belum disahkan pula, hadnya dinaikkan kepada 800 sehari.

Elon Musk menjelaskan tindakan sekatan mengikut had membaca ‘tweet’ ini hanya “sementara” sahaja. Beliau mendakwa ini dilakukan bagi mengatasi isu “pengumpulan data yang melampau” dan “kegiatan memanipulasi sistem”. Beberapa hari yang lepas, Twiiter telah mula menghalang pengguna yang tidak melog masuk untuk membaca ‘tweet’.

Sama seperti tindakan mengenakan had membaca kepada penggunanya, Elon Musk mendakwa tindakan ini bagi menghalang kegiatan “pengumpulan data yang melampau.” Beliau juga mengatakan tindakan sebahagian besar organisasi menggunakan data Twitter untuk melatih model kecerdasan buatan (A.I.) yang dibangunkan mereka.

Tidak dinyatakan berapa lama sekatan had membaca ‘tweet’ ini akan dikenakan oleh Twitter dan ini merupakan sebahagian daripada pembaharuan yang dibawakan oleh Elon Musk sejak pengambilalihannya.

Terdahulu, Twitter telah mula mengenakan bayaran penggunaan API Twitter. Sesetengah organisasi perlu membayar penggunaan API tersebut pada kadar sehingga $42,000 (RM196,000) sebulan. Pengenalan akaun Twitter Blue juga didapati tidak memberikan impak yang besar terhadap pendapatan Twitter selepas mencatatkan penyusutan nilai pendapatan daripada pengiklanan selepas pengambilalihan oleh Elon Musk.

Tinggalkan komentar