Seorang penyelidik dari Jepun, Isao Echizen menyatakan bahawa kamera moden hari ini amat jelas dan terperinci hinggakan cap jari individu-individu di dalam foto boleh diambil. Oleh itu, berhati-hatilah ketika berswafoto kerana terdapat kemungkinan besar cap jari anda boleh digunakan untuk aktiviti berjenayah.
Selama ini, kita menyangkakan kemungkinan berlakunya kecurian identiti hanya berdasarkan cap jari dari foto hanyalah rekaan di dalam filem atau siri drama seperti CSI sahaja. Namun dengan kemampuan kamera telefon pintar hari ini yang terlalu canggih memungkinkan perkara buruk yang digambarkan di dalam filem atau siri TV boleh berlaku.
Isao Echizen, profesor di Digital Content and Media Sciences Research Division, National Institute of Informatics memberitahu akhbar Jepun Sankei Shimbun bahawa beliau telah berjaya mendapatkan cap jari dari foto–foto yang menunjukkan jari peace dari jarak sejauh 3 meter sewaktu foto berkenaan ditangkap.
Beliau memberi amaran tentang budaya tunjuk peace yang amat popular sewaktu swafoto dikalangan masyarakat Jepun dan Asia ketika ini boleh mendedahkan pengguna terhadap risiko kecurian identiti.
Beliau bersama-sama pasukannya di National Institute of Informatics kini telah membangunkan teknologi mencegah kecurian data melalui cap jari yang berasaskan bahan titanium-oksida.
Walaupun amaran yang diberikan ini mungkin dilihat terlalu awal pada sesetengah pihak, penggunaan sistem keselamatan biometrik kini semakin meluas apabila mula digunakan pada laptop dan telefon pintar kegunaan harian. Profesor Isao Echizen turut mengajukan persoalan, kata laluan boleh la diubah-ubah tapi kalau cap jari atau retina mata macam mana?
Sumber berita diperoleh dari Sankei Simbun, Imej cover dari Ivo Dukic