Di dalam sebuah acara yang dianjurkan oleh White House pada Rabu baru-baru ini, Presiden Donald Trump memberikan penghargaan dan ucapan terima kasih buat Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook atas usahanya meningkatkan bilangan tenaga kerja warga Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, beliau didapati tersalah sebut nama Tim Cook sebagai Tim Apple ketika berucap dan media Amerika Syarikat terus menjadikannya sebagai sebuah jenaka.
Dalam ucapan tersebut, beliau menyatakan secara bersemuka dengan Tim Cook yang duduk di sebelah kanan beliau, “You’ve really put a big investment in our country,”
Kemudian, beliau menyambung: “We appreciate it very much, Tim Apple.”
Tim Cook kelihatan seperti tidak perasan atau tidak mengendahkan kesilapan tersebut pada ketika itu. Malah, Presiden Donald Trump juga tidak menyedarinya lantas menyambung kembali ucapan beliau.
Hal ini telah menyebabkan viral di laman-laman sosial dengan Tim Cook turut melayannya dengan menukarkan nama Twitter beliau kepada Tim Apple.
“Tim Apple” embraces Trump’s misspeak with a new Twitter username pic.twitter.com/mA3Dmn3npm
— Jennifer Epstein (@jeneps) March 7, 2019
Sebelum ini Presiden Donald Trump telah diketahui kerap tersasul menyebut nama-nama pegawai eksekutif sesebuah syarikat. Misalnya pada tahun lepas beliau memanggil Ketua Pegawai Eksekutif Lockheed Martin, Marillyn Hewson sebagai “Marillyn Lockheed”.
Mungkin selepas ini akan timbul nama-nama seperti “Mark Facebook”, “Bill Microsoft”,”Elon Tesla” atau “Jack Ali Baba”?
Sumber berita diperoleh dari The Verge













