Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau dikenali sebagai Trans-Pacific Partnership Agreement (TPP) kini telah dipersetujui 12 buah negara yang terlibat yang turut melibatkan 36 peratus dari keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.
Perjanjian ini turut melibatkan industri teknologi terutamanya dalam soal perlindungan harta intelektual dan juga hak cipta terpelihara. Antara negara-negara yang terlibat dengan perjanjian ini adalah Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Chile, Japan, Kanada, Malaysia, Mexico, Peru, New Zealand, Singapura dan Vietnam.
Dikhabarkan, antara kelebihan menandatangani perjanjian ini ialah syarikat Malaysia akan menikmati akses pasaran kepada semua negara ahli untuk membolehkan syarikat dalam negara berdaya saing selain dari menjadi daya menarik pelaburan asing untuk datang melabur di Malaysia.
Walaupun demikian, isi kandungan keseluruhan perjanjian ini masih lagi penuh tanda tanya. Apa yang terdedah dan tersebar di media hanyalah sebahagian maklumat yang dibocorkan oleh Wikileaks. Justeru, tidak hairan jikalau perjanjian ini mencetuskan kebimbangan sesetengah pihak di kalangan negara-negara yang terlibat tentang kesan-kesan negatif yang bakal diterima kemudian hari.
Antara yang dibimbangi adalah hukuman yang dikenakan terhadap kesalahan pelanggaran akta hak cipta terpelihara yang dilihat terlalu keras hingga menyamai hukuman melakukan kesalahan jenayah berat sesetengah negara.
Selain dari perlindungan harta intelek terhadap kandungan digital, perjanjian ini turut melibatkan jenama ubat-ubatan yang digunakan di klinik, hospital dan farmasi di negara-negara yang terlibat.
Di Amerika Syarikat, Electronic Frontiers Foundation, sebuah badan yang mempertahankan hak pengguna elektronik telah mengkritik isi kandungan dan juga sifat kerahsiaan perjanjian tersebut dengan mengeluarkan kenyataan, “We have no reason to believe that the TPP has improved much at all from the last leaked version released in August,“
“Oleh itu, selagi ianya mengandungi pemanjangan tempoh hak cipta terpelihara sehingga 20 tahun, pengharaman pemintasan DRM, hukuman kesalahan pelanggaran hak cipta yang tidak sepatutnya serta tindakan menjadikan wartawan yang menyiasat seperti penjenayah, kami akan melakukan apa sahaja untuk menghalang perjanjian ini ditandatangani (So as long as it contains a retroactive 20-year copyright term extension, bans on circumventing DRM, massively disproportionate punishments for copyright infringement, and rules that criminalize investigative journalists and whistleblowers, we have to do everything we can to stop this agreement from getting signed, ratified, and put into force).” tambah badan pengguna tersebut.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed awal pagi tadi mengeluarkan kenyataan menjelaskan TPP yang dirumuskan ini bersetuju untuk mempertimbangkan hampir kesemua kebimbangan dan sensitiviti yang dibangkitkan Malaysia seperti isu pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan bumiputera.
Tambah beliau lagi, butiran fleksibel diberikan kepada Malaysia termasuk tempoh peralihan lebih panjang dan layanan berbeza bagi perkara yang sensitif kepada negara.
Sumber berita diperoleh dari ZD Net











saya taklah faham sangat TPPA ni. tapi risau juga kalau tangan-tangan yang kita tahu tak pernah nak ambil berat perut rakyat sebaliknya hanya diri sendiri ini menandatangani….