Utama Mobile Aplikasi Touch ‘n Go melancarkan GOpinjam; Perkhidmatan Pinjaman Peribadi Digital secara konvensional, dikuasakan...

Touch ‘n Go melancarkan GOpinjam; Perkhidmatan Pinjaman Peribadi Digital secara konvensional, dikuasakan oleh CIMB Bank

1722
0

Touch ‘n Go pada hari ini telah mengumumkan satu lagi perkhidmatan kewangan digital terbarunya, GOpinjam. Perkhidmatan ini merupakan skim pinjaman mikro melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet.

Pinjaman melalui perkhidmatan ini berasaskan perkhidmatan Pinjaman Peribadi e-Zi oleh CIMB Bank. GOpinjam menawarkan pinjawam peribadi dari serendah RM100 sehingga maksimum RM10,000.

Kadar faedahnya pula di antara 8% hingga 36% mengikut amaun pinjaman dan tempoh bayaran semulanya. Pengguna boleh menetapkan tempoh pembayaran balik pinjaman di antara satu minggu hingga satu tahun.

Pengguna juga boleh memilih untuk menerima amaun pinjaman tersebut sama ada melalui Touch ‘n Go eWallet atau menerusi akaun bank CIMB ataun CIMB Islamic.

Berdasarkan dokumen soalan-soalan lazimnya, pengguna boleh menghantar seberapa banyak permohonan GOpinjam selagi jumlah amaun yang dipinjam tidak melebihi RM10,000 pada waktu tersebut.

Untuk membuat permohonan pinjaman peribadi melalui GOpinjam, pengguna boleh melakukannya menerusi bahagian khas GOpinjam di dalam aplikasi Touch ‘n Go eWallet. Seterusnya, pengguna perlu memasukkan maklumat gaji bulanan, dan aplikasi tersebut akan mengirakan jumlah amaun yang dicadangkan boleh dipinjam berdasarkan kadar gaji yang dimasukkan.

Selepas amaun pinjaman dan tempoh bayaran semula telah dipilih, pengguna perlu melengkapkan proses pengesahannya. Selain itu, pengguna perlu menyertakan dokumen pendapatan seperti salinan penyata gaji terkini dari syarikat yang berdaftar di Malaysia, penyata KWSP yang menunjukkan caruman tiga bulan terkini atau resit penyata e-filing Borang B/BE.

Bagi pengguna yang pertama kali melakukan pinjaman menerusi GOpinjam, kelulusan pinjaman akan dimaklumkan pada hari bekerja berikutnya. Pengguna yang pernah meminjam sebelum ini akan hanya mengambil masa sehingga 5 minit sahaja untuk diluluskan.

Buat masa ini, GOPinjam hanya ditawarkan kepada pengguna berusia 21 tahun hingga 63 tahun dengan pendapatan minima RM800 sebulan. Pinjaman yang dibuat melalui perkhidmatan ini juga dilakukan melalui kaedah perbankan konvensional dan tidak patuh syariah buat masa ini.

Tinggalkan komentar