Jika anda memiliki laptop berjenama Toshiba, anda mempunyai kemungkinan sama ada bateri laptop anda menjadi terlalu panas sehingga mampu mencairkan peranti anda. Atas sebab itu, syarikat gergasi elektronik dari Jepun ini memanggil semula bateri laptopnya dalam minggu ini.

Toshiba menggunakan pek bateri lithium-ion Panasonic untuk laptop keluarannya dan menyatakan bahawa sesetengah bateri ini cenderung untuk menjadi terlampau panas hingga boleh terbakar dan mendedahkan pengguna kepada bahaya kebakaran.

Lebih dari 100,000 laptop yang dijual di Amerika Syarikat dan Kanada terdedah dengan risiko kebakaran bateri yang dimuatkan ke dalam 39 model laptop Toshiba yang merangkumi jenis Portege, Satellite, dan Tecra.

Unit-unit bateri yang bermasalah ini mempunyai nombor siri bermula dari “G71C” dan mana-mana pembeli yang memiliki bateri laptop dari nombor siri berkenaan layak untuk mendapatkan penggantian baru secara percuma dari Toshiba.

Buat sementara waktu, Toshiba menasihatkan pengguna yang memilik laptop dengan bateri bermasalah ini supaya menanggalkan bateri dan hanya menggunakan bekalan kuasa terus dari adapter.

Sehingga kini Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (US Consumer Product Safety Commission) masih belum menerima sebarang laporan kecederaan yang disebabkan masalah bateri laptop ini.

Namun, pihak Toshiba telah pun menerima empat aduan berkenaan bateri ini dimana turut dilaporkan ia menjadi terlalu panas sehingga mencairkan kerangka plastik laptop-laptop yang terlibat.

Sudah tentu, perkara yang melibatkan peranti elektronik menjadi terlampau panas ini bukanlah perkara yang boleh di buat main.

Sumber berita diperoleh dari ZD Net

1 komen

Tinggalkan komentar