Adakah TikTok masih lagi boleh dianggap sebagai sebuah platform video berdurasi pendek? Berdasarkan langkah terbarunya, platform berkenaan mengumumkan penambahan durasi maksimum video yang boleh dimuat naik ke 10 minit.

TikTok telah menguji muat naik berdurasi panjang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Julai tahun lalu, TikTok telah memperkenalkan video 3 minit dan pada tahun ini, tempoh durasi maksimumnya telah ditingkatkan lagi.

Beberapa pengguna telah pun menerima notifikasi penambahan durasi tersebut dan meminta pengguna untuk mengemaskini aplikasi untuk menikmati ciri tersebut.

Sungguhpun peningkatan populariti TikTok banyak disumbangkan oleh penghasilan pelbagai video-video pendek yang menarik oleh penggunanya, platform berkenaan telah mula bergerak ke arah kandungan yang lebih panjang durasinya.

Durasi video yang lebih panjang membolehkan TikTok lebih berdaya saing dengan YouTube. Platform ini juga mula menarik minat kumpulan yang lebih berusia, selain turut menggalakkan pengguna lebih banyak meluangkan masa di TikTok.

Pun begitu, pertambahan durasi ini boleh mengurangkan jumlah data yang boleh dikumpulkan TikTok untuk menilai tabiat menonton para penggunanya. Data ini digunakan bagi mengubah algoritma untuk menarik minat pengguna lebih lama di dalam platformnya.

Anehnya, sedang TikTok melanjutkan tempoh durasi kandungannya, pesaing-pesaingnya pula melakukan langkah yang sebaliknya. Terinspirasi dari kejayaan TikTok, platform-platform lain seperti Instagram (Reels), YouTube (Shorts) dan Snapchat (Spotlight) telah memperkenalkan fungsi memuat naik video pendek di platform masing-masing sebelum ini.

Tinggalkan komentar