Elon Musk kadangkala mempunyai tabiat menjual barangan pelik-pelik yang tiada kaitan dengan perniagaan utama syarikatnya. Jika sebelum ini beliau pernah menjual alat penyembur api (flamethrower), kali ini beliau menjual wisel berharga premium yang dinamakan sebagai ‘Cyberwhistle’.
Wisel diinspirasikan oleh trak keluaran Tesla, ‘Cybertruck’ ini dikatakan boleh dijadikan koleksi ekslusif dan dijual pada harga $50 (~RM210). Apa yang lebih menarik, wisel berkenaan juga dilaporkan telah habis dijual selepas beberapa jam dibuka.
Cyberwhistle ini juga didakwa sebagai bahan koleksi premium yang diperbuat dari keluli tahan karat bergred perubatan dengan kemasan kilat.
Produk ini dilihat lebih pada gimik pemasaran yang mengambil ilham dari kain pengelap yang diperkenalkan oleh Apple baru-baru ini. Malah, Elon Musk sendiri melalui satu hantaran di Twitter, beliau menyatakan, “Jangan bazirkan duit anda dengan Kain Pengelap bodoh Apple tu, lebih baik beli wisel kami,”
Pesanan beliau tersebut nampaknya diterima baik oleh peminatnya apabila Cyberwhistle telah habis dijual dalam tempoh beberapa jam selepas ia dibuka.
Berkenaan trak buatan Tesla tersebut yang didakwa telah ditempah lebih dari satu juta unit, Cybertruck telah ditangguhkan pelancarannya ke tahun 2022.













