Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang mengumumkan Terowong Smart telah berjaya mencatatkan rekod baharu ketika fungsi saliran air hujan terowong berkenaan diaktifkan selama 22 jam bagi melencongkan air Sungai Klang yang naik mendadak.

Disiapkan pada tahun 2007, SMART merupakan terowong bawah tanah sepanjang 9.7km yang mempunyai dua fungsi. Selain dari berperanan mengalihkan aliran air ketika hujan, ia juga digunakan sebagai terowong kenderaan yang menghubungkan Jalan Sungai Besi ke pusat bandar Kuala Lumpur.

Sejumlah 5 juta meter padu air telah dilencongkan dari Sungai Klang dan Sungai Ampang ke Kolam Takungan Taman Desa sejak pengaktifannya pada Sabtu, jam 1.32 petang hingga tengahari Ahad. Menurut kenyataan dari Terowong Smart, jumlah ini melebihi kapasiti maksima kolam takungan berkenaan iaitu 3 juta meter padu. Laluan trafik ke terowong berkenaan juga mula ditutup pada Sabtu, 18 Disember 2021 jam 6.47 petang.

Dr Zaini Ujang juga berkongsikan di Facebook beliau, sejak dari 2017, terdapat lapan operasi lencongan yang mengambil masa sehingga 3 jam. Bagaimanapun, untuk lencongan kali mengambil masa selama 22 jam kerana faktor hujan yang terlalu lebat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor. Hujan lebat yang berterusan selama lebih dari 24 jam itu juga bersamaan dengan jumlah purata taburan hujan bulanan.

Beliau turut menambah, jika 5 juta meter padu air berkenaan tidak dilencongkan, keadaan banjir berkemungkinan akan menjadi lebih buruk. Selain dari Terowong SMART, Jabatan Pengairan dan Saliran juga telah menghidupkan rumah-rumah pam ke paras maksimum.

Proses mengepam air kembali ke sungai juga tidak dapat diteruskan kerana paras air sungai di kawasan hilir sistem SMART masih lagi tinggi. Buat masa ini, Terowong SMART masih lagi menutup aliran trafik bagi tujuan pembersihan dan pemeriksaan dalam tempoh 3 hingga 4 hari.

4 Mod Terowong SMART

Terowong SMART mempunyai 4 mod pengoperasiannya. Ketika keadaan normal, hujan, dan hujan lebat terowong berkenaan boleh digunakan untuk trafik pada laluan dua tingkatnya.

Bagaimanapun, ketika keadaan hujan lebat berterusan dan selepas 1-2 jam Mod 3 diaktifkan, laluan trafik terowong akan ditutup. Keseluruhan terowong akan digunakan sepenuhnya untuk tujuan lencongan air selepas pengosongan laluan trafik dilakukan.

Mod 4 Terowong SMART telah diaktifkan pada September tahun lalu dengan melencongkan sejumlah 3 juta meter padu air dari Sungai Klang. Dilaporkan, jika lencongan menggunakan Terowong SMART tidak diaktifkan, seluruh kawasan 1km radius di sekitar Masjid Jamek akan ditenggelami air.

Tinggalkan komentar