Samsung merupakan salah satu penyumbang kepada pembangunan Fuchsia OS. Laporan terkini mendakwa kemungkinan gergasi elektronik Korea Selatan ini akan menggantikan Android dengan sistem operasi baharu berkenaan di masa hadapan.
Fuchsia merupakan sistem operasi sumber terbuka yang dibangunkan oleh Google. Kini, ia merupakan sebahagian dari produk pembesar suara pintar milik Google, Nest yang sebelum ini dikenali sebagai Google Home.
Tidak seperti sistem operasi Google yang lain seperti Android dan Chrome OS yang dibina berasaskan kernel Linux, Fuchsia dibina berasaskan kernel baharu yang dinamakan sebagai Zircon.
Samsung merupakan peneraju utama telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Android. Sunggupun begitu, syarikat tersebut tidak menggunakannya pada televisyen pintarnya dan memilih menggunakan Tizen OS. Antara sebabnya adalah bagi menawarkan keunikannya tersendiri dengan syarikat pengeluar TV pintar lain seperti Sony yang menggunakan Android TV.
Baru-baru ini, satu ciapan dari pentiris maklumat tegar, Dohyun Kim mendakwa Samsung sedang bersedia untuk beralih dari Android kepada Fuchsia OS. Bagaimanapun, peralihan ini tidak akan berlaku dalam masa yang terdekat ini berkemungkinan akan mengambil masa hingga bertahun-tahun.
Ini bukanlah kali pertama desas-desus mengenai kemungkinan Samsung beralih ke Fuchsia diperkatakan. Mei lalu, Ice Universe mendakwa kemungkinan besar Samsung akan menggunakan platform baharu ini di masa hadapan.
Samsung giat memberikan sumbangan dalam pembangunan Fuchsia sejak Google membuka asas kodnya untuk disumbangkan oleh orang ramai.
Pelbagai kod telah disumbangkan oleh Samsung terhadap sistem operasi ini termasuk sebahagiannya melibatkan sistem fail mesra storan Flash (F2FS). Sistem fail berkenaan dibangunkan oleh Samsung dan boleh diketemukan pada telefon pintar Samsung Galaxy yang lebih terkini.
Perkembangan ini jika benar berlaku merupakan sesuatu yang amat menarik untuk diperhatikan setelah sejak sekian lama kedua-dua syarikat, Samsung dan Google menerima manfaat yang besar dari Android.













