KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) melantik Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebagai pengerusi baharunya berkuatkuasa 11 Mei ini.
Dalam satu kenyataan, TM berkata, beliau akan menggantikan Rosli Man yang meletak jawatannya hari ini.
“Mewakili Kumpulan TM, Lembaga Pengarah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Rosli di atas kepemimpinan dan sumbangannya kepada kumpulan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Seluruh barisan Lembaga Pengarah, pengurusan dan Warga TM ingin mengucapkan terima kasih dan menyampaikan penghargaan kepada Pengerusi kami yang sudah pergi, Rosli Man atas sumbangannya yang berharga kepada TM selama ini.
“Semasa menjadi Pengerusi, beliau berperanan meletakkan TM sebagai Penyedia Infrastruktur Telekomunikasi Kebangsaan atau InfraCo ke arah mempersiapkan kumpulan di barisan hadapan pelancaran infrastruktur 5G negara,” katanya.
Rosli mula dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah kumpulan itu pada Disember 2018.
Mengulas mengenai pelantikan Pengerusi baharu, Lembaga Pengarah TM berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran Mohd Bakke.
“Beliau adalah seorang tokoh korporat yang amat disegani dan berpengalaman luas, dikenali sebagai seorang yang mengutamakan tadbir urus dan integriti,” katanya.













