Tablet Xiaomi Pad 5 telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia secara rasminya selepas dilancarkan ke pasaran global pada minggu lepas.
Pelancaran tablet ini dilaksanakan seiring dengan siri telefon pintar Xiaomi baharu iaitu Xiaomi 11T dan 11 Lite 5G NE secara dalam talian.
Xiaomi Pad 5 dilengkapkan dengan paparan 11-inci yang beresolusi 2560 x 1600 dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan sokongan Dolby Vision.
Dikuasakan oleh Qualcomm Snapdragon 860 bersama-sama RAM 6GB, paparan tablet Xiaomi ini juga menyokong penggunaan Xiaomi Smart Pen.
Tablet ini juga dilengkapkan dengan kamera 13MP pada bahagian belakangnya, serta sebuah kamera 8MP pada sebelah hadapannya. Xiaomi juga menyediakan tablet baharunya ini dengan empat pembesar suara stereo yang menyokong teknologi bunyi keliling Dolby Atmos.
Melengkapkan spesifikasi umumnya, bateri berkapasiti 8,720mAh disediakan yang menurut Xiaomi mampu memainkan semula video sehingga lebih 16 jam.
Untuk pasaran Malaysia, Xiaomi Pad 5 didatangkan bersama-sama pengecas 22.5W, berbeza dengan model di China yang hadir dengan pengecas 33W. Selain itu, model yang dilancarkan di Malaysia ini juga merupakan varian Wi-Fi sahaja.
Harga Xiaomi Pad 5 di Malaysia bagi storan 128GB adalah RM1,399, manakala bagi storan 256GB pula berharga RM1,599. Anda boleh dapatkan tablet Xiaomi baharu ini bermula dari 24 September 2021.
Dalam pada masa yang sama, anda boleh mendapatkan Xiaomi Pad 5 128GB pada harga RM1,299 secara eksklusif menerusi kedai rasmi Xiaomi di Lazada selagi stok masih ada.

















