Bagi anda yang sudah menaik taraf sistem operasi komputer anda dari Windows 7 atau Windows 8 ke Window 10, anda mungkin mendapati sesuatu yang pelik berlaku. System process kadangkala memakan sejumlah RAM yang besar, kerapkali lebih dari 1 GB.
Bagaimanapun, ia bukanlah ralat di dalam Windows 10. Sebaliknya, ia adalah salah satu ciri unik yang dimiliki oleh sistem operasi ini. Mengapa ia terjadi? Ini sebabnya.
Sebelum kita bercerita lebih lanjut tentang Windows versi baharu ini, mari kita melihat bagaimana Windows versi-versi yang terdahulu menguruskan penggunaan memorinya. RAM akan memperuntukkan ruangan untuk pengguna menyimpan data dan jika anda telah memenuhkan ruangan memori komputer tersebut, Windows akan memunggah halaman-halaman (pages) data yang paling kurang digunakan ke pagefile yang terletak di dalam storan anda.
Kelemahan cara ini ialah, apabila anda perlu menggunakan data dari pagefile lagi, ia perlu diambil dari storan yang mana kadar pemindahannya adalah lebih perlahan jika dibandingkan dengan mencapainya di dalam memori. Walaupun ia masih lagi dapat mengurangkan risiko untuk aplikasi atau perisian tergendala, namun ia boleh dipertingkatkan lagi jika data tersebut tidak perlu keluar dari memori.
Cara Windows 10 menjalankan Pengurusan Memori
Windows 10 masih lagi menggunakan pagefile apabila perlu. Bagaimanapun, apabila memori komputer anda mulai penuh, Windows 10 akan mula memampatkan halaman-halaman memori yang terdahulu untuk membolehkan lebih banyak ruangan di dalam memori dapat disediakan. Proses pemampatan ini hampir serupa sepertimana kita menghimpun dan memampatkan fail-fail ke dalam arkib ZIP.
Jadinya, sebagai contoh apabila komputer anda mempunyai aplikasi atau perisian yang sedang dihidupkan tapi tak digunakan oleh anda pada ketika itu, Windows akan mula mengecilkan halaman-halaman data di dalam memori tanpa perlu membawanya keluar ke untuk dimuatkan ke dalam storan.
Kekurangan pada cara memampat dan menyahmampat halaman-halaman data ini akan menambah kitaran CPU anda. Bagaimanapun, pada kebiasaannya cara ini tidak begitu menjejaskan prestasi keseluruhan komputer berbanding cara tradisional Windows menguruskan memori.
Seluruh memori-memori yang dimampatkan ini disimpan di dalam System process. Atas sebab inilah kita dapat melihat jumlah penggunaan memorinya menjadi semakin besar dari masa ke semasa. Semakin lama tempoh penggunaan komputer anda, semakin banyak data di dalam memori yang Windows perlukan untuk dimampatkan.
Pengguna-pengguna Mac telah pun menggunakan ciri ini sejak dari tahun 2013. Malah kernel-kernel Linux versi yang baharu juga menggunakan teknik pemampatan memori ini. Walaupun ianya kelihatan seperti sangat membimbangkan di dalam Task Manager, cara mengekalkan halaman data di dalam memori bukan sahaja di dapati lebih bagus, malah ia sudah pun menjadi satu kebiasaan di kalangan sistem-sistem operasi yang terkini.
Apa yang kita boleh lakukan tentangnya?
Terlebih dahulu, kita bukan boleh buat apa pun dengan perkara ni. Seperti yang pernah diceritakan di dalam entri sebelum ini, RAM yang tidak digunakan adalah RAM yang dibazirkan. Tindakan enutup aplikasi atau perisian yang tidak digunakan demi ‘menjimatkan RAM’ bakal menjadikan masa yang diperlukan untuk menghidupkannya semula menjadi lebih lama.
Melainkan jika komputer sudah menjadi lembab atas faktor usia, anda tidak perlu bimbang tentang program-program yang menggunakan banyak RAM. Ia benda baik sebenarnya.
Bagaimanapun, seperti mana yang diterangkan di atas, proses memampatkan dan menyahmampatkan membuatkan lebih banyak kitaran CPU berlaku. Oleh itu, anda mungkin boleh mendapati berlaku sedikit penurunan prestasi apabila membuka semula aplikasi atau perisian yang anda biarkan buat beberapa ketika. Untuk mengatasi masalah kecil ini, anda mungkin boleh cuba untuk;
- Menambah RAM: Merupakan antara cara yang terbaik untuk meningkatkan keupayaan sistem operasi anda. Lebih banyak ruangan memori yang dapat disediakan, makin kurang ‘beban kerja’ Windows untuk memampatkan halaman-halaman data.
- Menyahpasang aplikasi-aplikasi sarap: Sesetengah aplikasi yang sedia terpasang sebaik anda membelinya mungkin aplikasi yang tidak penting dan sia-sia. Membuangnya dapat meningkatkan prestasi penggunaan memori komputer anda.
- Tutup aplikasi atau tab-tab pelayar yang anda tidak perlukan: Semakin banyak benda yang anda biarkan terbuka, semakin banyak memori yang akan disumbatkan ke System process.
Secara keseluruhannya, cara pengurusan penggunaan memori yang tinggi secara zahirnya tidak jauh beza dengan cara Windows versi yang terdahulu menguruskannya. Bezanya, ia sangat jelas kelihatan pada task manager kerana System process telah dipaksa untuk bekerja keras demi memastikan komputer anda digunakan dengan selancar mungkin.
-Imej cover diperoleh dari Microsoft














semakin maju komputer, semakin banyak apps yang ditambah di dalam OS nya.