Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) turut merangkumi pemberian data percuma 1GB setiap hari kepada seluruh pengguna di Malaysia. Tawaran ini bermula dari 10 Jun hingga 31 Disember 2020.
Pengguna pascabayar dan prabayar boleh mendapatkan data percuma berkenaan dari jam 8 pagi hingga 6 malam setiap hari. Secara luarannya, tawaran ini kelihatan sama seperti yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi sejak dari 1 April lalu. Bagaimanapun, penawaran data percuma 1GB ini hanya terhad untuk perkhidmatan yang berkaitan pembelajaran dan produktiviti.
Pengguna juga boleh menikmati akses tanpa had percuma untuk aplikasi Microsoft Office 365 dan perkhidmatan persidangan video Zoom. Perkara ini dimaklumkan menerusi kenyataan media yang diterbitkan bersama oleh syarikat telekomunikasi tempatan – Celcom, Digi, Maxis, Time, TM, U Mobile, dan Yes. Kursus e-pembelajaran dari Classruum, Udemy, dan SunagoLearn juga akan diberikan secara percuma.
Selain itu, syarikat telekomunikasi juga akan terus menyediakan akses data percuma ke sumber berita utama berserta laman rasmi KKM dan WHO. Tidak ketinggalan, data untuk penggunaan aplikasi Gerak Malaysia, MySejahtera, dan MyTrace turut diberikan secara percuma.













