Kuala Lumpur (9 Disember 2022) – Splash Damage, pencipta permainan Dirty Bomb, Gears Tactics, Wolfenstein: Enemy Territory, hari ini mengumumkan pelancaran TRANSFORMERS: REACTIVATE, sebuah permainan penuh aksi untuk 1-4 pemain yang dihasilkan dengan kerjasama Hasbro, Inc.
Permainan bersama untuk PC & Konsol ini membolehkan pemain menyelami pengalaman dan meneroka kisah baharu yang serba menarik dalam dunia TRANSFORMERS.
Acara Pratonton Eksklusif Sedunia TRANSFORMERS: REACTIVATE telah diadakan di The Game Awards (Anugerah Permainan), untuk membolehkan peminat menyingkap jalan permainan yang bakal dilancarkan ini menerusi sedutan aksi penuh debaran.
Ancaman paling besar terhadap umat manusia telah menjelma. Malah mereka sudah pun berjaya. Bumi bukan lagi milik kita; bumi kita kini milik mereka. Harapan kita hanya terletak pada Autobots, sambil kita cuba menyelamatkan mereka daripada kemusnahan yang telah melanda. Pautan YouTube TRANSFORMERS: REACTIVATE:
TRANSFORMERS: REACTIVATE akan memberi peluang kepada pemain untuk menyelami dunia TRANSFORMERS dengan pengalaman yang belum pernah diterokai sebelum ini. Mereka boleh memainkan beberapa watak kegemaran mereka; yang unik, berpengaruh, dan berkuasa, sambil beralih dengan mudah antara bentuk kenderaan dan bot dalam perjuangan mereka menentang The Legion; ancaman terbesar yang pernah dihadapi oleh Autobot.
Richard Jolly, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Splash Damage, berkata, “Saya menonton G1 TRANSFORMERS semasa membesar pada tahun 80-an, dan keistimewaan mereka tersemat di hati saya. Justeru, saya berbesar hati dan berbangga untuk bekerjasama dengan francais yang diminati di serata dunia ini. Kami tahu peminat sudah menunggu lama untuk permainan TRANSFORMERS baharu di konsol dan PC mereka, dan kami sedia untuk menawarkan pengalaman yang seharusnya dinikmati mereka.”
Buka Lembaran Baharu
TRANSFORMERS: REACTIVATE membuka lembaran baharu bagi Splash Damage. Permainan ini sedang dibangunkan & diterbitkan secara eksklusif oleh kumpulan ini yang berpangkalan di London. Sebagai sebahagian daripada era baharu ini, Splash Damage baru-baru ini mengambil alih BULKHEAD dan telah membangunkan TRANSFORMERS: REACTIVATE dengan kerjasama studio yang berpangkalan di Derby ini.
Pasukan pembangunan & penerbitan yang dianggotai oleh lebih 500 kakitangan di Splash Damage dan BULKHEAD kini semakin bertambah dan TRANSFORMERS: REACTIVATE adalah salah satu beberapa tajuk permainan original yang kini sedang dibangunkan di studio tersebut.
Eugene Evans, Naib Presiden Kanan (SVP) Pembangunan Perniagaan & Pelesenan Digital di Hasbro, berkata, “Para peminat tidak sabar-sabar menantikan permainan baharu yang membawa mereka menyelami dunia ikonik TRANSFORMERS. Kami teruja untuk berkongsi sedutan pertama permainan ini di salah satu daripada malam anugerah terbesar bagi industri permainan. Splash Damage mempunyai rekod pencapaian luar biasa dengan beberapa IP paling terkenal di dunia dan bersungguh-sungguh dalam usaha menghasilkan permainan kreatif menarik bagi jenama TRANSFORMERS. Kami yakin bahawa TRANSFORMERS: REACTIVATE akan mendapat sambutan hebat daripada komuniti peminat TRANSFORMERS dan meneruskan strategi Rangka Tindakan 2.0 Hasbro untuk menerbitkan hiburan berjenama kelas pertama merangkumi pelbagai kategori dan platform, termasuk permainan video.”
TRANSFORMERS: REACTIVATE akan disediakan untuk dimainkan di PC dan konsol, dengan ujian Beta Tertutup dirancang pada 2023. Para pemain boleh mendaftar sekarang di www.playTFR.com untuk maklumat terkini. Anda boleh mendapatkan perkembangan terkini dengan mengikuti saluran sosial rasmi: (Facebook, Instagram, Twitter & TikTok)
Pihak Akhbar & Pencipta Kandungan boleh mendaftar di https://press.splashdamage.com/ untuk mendapatkan aset dan maklumat terkini.













