Xiaomi 12 Ultra dijangka akan menjadi sebuah telefon pintar yang akan mempertontonkan hasil yang diusahakan secara bersama di antara Xiaomi dengan jenama kamera terkemuka Leica. Telefon pintar berkenaan dijangka akan diperkenalkan sekitar bulan Julai ini.

Desas-desus mengenai Xiaomi 12 Ultra mendakwa perkakasan kameranya adalah sama seperti yang digunakan pada Mi 11 Ultra. Ini bermakna kamera utamanya adalah 50MP bersama-sama OIS dengan kemungkinan sensor baharu. Ia juga bakal hadir dengan modul kamera telefoto 48MP 5x dan kamera ultra lebar 48MP, menurut maklumat dari pentiris maklumat teknologi bersiri, Yogesh Brar.

Juga dikatakan terdapat sebuah lagi komponen tambahan baharu iaitu sensor ToF 3 Dimensi. Kamera hadapan pula dijangka mungkin sama 20MP seperti model Ultra tahun lepas. Panel paparan pula dijangkakan sama dengan Xiaomi 12 Pro iaitu panel 6.7” LTPO AMOLED panel beresolusi QHD+ dan kadar penyegaran semula 120Hz.

Telefon berkenaan juga mungkin menaik taraf pemprosesannya dengan menggunakan Snapdragon 8+ Gen 1 dan menawarkan konfigurasi RAM LPDDR5 8 atau 12GB dan storan UFS 3.1 256GB atau 512GB. Ia juga mungkin menggunakan antaramuka MIUI 13 berasaskan Android 12.

Akhir sekali, kapasiti bateri yang ditawarkannya mungkin 4,800mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 67W dan 50W secara nirwayar. Terdapat desas-desus lain yang mengatakan Xiaomi 12 Ultra ini akan menggunakan pengecasan 120W seperti 12 Pro, namun maklumat ini kelihatan agak janggal jika diteliti.

Tidak dapat dipastikan bagaimanakah jenama Leica akan dipertunjukkan pada rekaan model telefon pintar yang dihasilkan secara bersama-sama ini kelak.

Tinggalkan komentar