Spesifikasi perkakasan konsol permainan Sony PlayStation 5 telah dilaporkan melalui portal teknologi, Wired. Bagaimanapun, tidak semua maklumat mengenai konsol permainan terbaru dari Sony ini didedahkan.

Pihak Sony juga masih lagi belum mengumumkan nama rasmi bagi konsol berkenaan. Menurut Wired, konsol berkenaan dirujuk sebagai “next-gen console” oleh Mark Cerny, Ketua Senibina Sistem untuk PlayStation 4 (PS4) merangkap jawatan yang sama untuk pembangunan konsol yang bakal hadir kelak.

Berdasarkan laporan berkenaan, Encik Mark Cerny telah mengesahkan “PlayStation 5” ini akan dikuasakan oleh pemprosesan AMD Ryzen 7nm tersuai bersama-sama GPU Radeon yang dibina berasaskan senibina 7nm Navi. Beliau juga turut mendedahkan cip pemprosesan berkenaan turut menyokong ray-tracing dan resolusi maksimum sehingga 8K.

Cip pemprosesan tersebut juga mengandungi ruangan yang dikhususkan untuk kegunaan audio 3D bagi membolehkan para pembangun menghasilkan permainan yang lebih mengasyikkan. Konsol permainan terbaru ini juga dikatakan bakal hadir dengan pemacu keadaan pepejal (solid-state drive, SSD) yang masih belum diumumkan jenisnya.

Konsol permainan akan datang dari Sony ini turut menawarkan sokongan set kepala PSVR dan juga judul-judul permainan-permainannya. Sebahagian permainan-permainan baru yang akan datang juga dilaporkan masih menawarkan sokongan untuk PlayStation 4 dan juga konsol terbaru ini nanti.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan berkenaan dijangkakan konsol permainan ini tidak akan dilancarkan dalam tahun ini.

Sumber berita diperoleh dari Wired

 

Tinggalkan komentar