HONOR dijangka akan memperkenalkan Magic V5 tidak lama lagi, lapor pentiris maklumat @ZionsAnvin di X (dahulu dikenali sebagai Twitter). Menurutnya, telefon pintar berkenaan telah menerima persijilan daripada Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) di China melalui nombor model MBH-AN10 bersama-sama Sijil Wajib China (China Compulsory Certification, 3C).
Berdasarkan senarai tersebut, dinyatakan bateri telefon pintar berkenaan mempunyai kapasiti 5,950mAh melalui dua sel, satu dengan kapasiti 2,070mAh dan satu lagi 3,880mAh. Ia merupakan naik taraf daripada Magic V3 pada tahun lepas yang mempunyai kapasiti 5,150mAh.
Persijilan ini juga menyatakan telefon pintar ini akan menyokong sambungan 5G dan sokongan dwi-SIM. Mengambil kira HONOR Magic V3 dilancarkan di Malaysia pada September tahun lalu, dan Magic V2 pada Januari tahun yang sama, besar kemungkinan Magic V5 akan dilancarkan di Malaysia tidak lama selepas ia dilancarkan secara rasmi di China. Cuma setakat ini tiada kenyataan rasmi dari pihak HONOR berkenaan perkara ini.
Seperti yang dinyatakan, HONOR Magic V3 akan diteruskan dengan Magic V5 dengan kebanyakan telefon-telefon pintar keluaran China yang lain melangkau angka 4 di dalam siri masing-masing.
HONOR Magic V3 sebelum ini mempunyai paparan luaran OLED 6.43-inci dengan paparan utamanya mempunyai panel AMOLED LTPO 7.92-inci. Ia dikuasakan oleh pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 dengan sistem tri-kamera di bahagian belakangnya. Untuk memori dan storan pula ia mempunyai masing-masing 12GB dan bermula dari 256GB.













