HONOR baharu sahaja memperkenalkan 400 Lite ke pasaran Malaysia. Kini, terdapat maklumat baharu dari Digital Chat Station di Weibo yang mendakwa HONOR dijangka akan melancarkan dua varian baharu siri telefon pintar berkenaan melalui 400 dan 400 Pro. Turut diuar-uarkan kedua-dua model tersebut mungkin akan dilengkapkan dengan kamera utama 200MP.

Selain dari kamera 200MP tersebut, pentiris maklumat berkenaan turut menyatakan HONOR 400 Pro akan mempunyai lensa telefoto 50MP. Ini bermakna terdapat kemungkinan telefon pintar berkenaan akan mempunyai dwi-kamera di belakangnya. Tidak dapat dipastikan bagaimana bentuk susunan modul-modul kameranya itu kelak.

Pentiris maklumat yang sama juga menyatakan salah satu daripada model telefon HONOR berkenaan akan mempunyai skrin LTPS 6.55-inci beresolusi 1.5K. Manakala sebuah lagi model yang mungkin 400 Pro akan mempunyai skrin LTPS 6.77-inci beresolusi 6.77-inci. Kedua-duanya dijangka akan mempunyai skrin rata, kerangka tengah berlogam, dan menggunakan pemprosesan sama ada Qualcomm Snapdragon 7 Gen 3 atau 8 Gen 3. Untuk baterinya pula, mungkin sebuah bateri berteknologi silikon akan digunakan dengan kapasiti lebih dari 7,000mAh.

Sebagai perbandingan, HONOR 400 Lite mempunyai skrin AMOLED 6.7-inci beresolusi 1,080 x 2,412 piksel dan dilengkapkan dengan pemprosesan MediaTek Dimensity 7025. Ia mempunyai bateri berkapasiti 5,230mAh dengan sokongan pengecasan 35W. Dari segi kameranya, ia mempunyai kamera utama 108MP dan kamera ultra-lebar 50MP. Disebelah hadapannya pula terdapat sebuah kamera 16MP dengan lampu swafoto terbina dalam.

Digital Chat Station juga mengemaskini maklumat pada hantaran beliau tersebut dengan menjelaskan spesifikasi HONOR 400 dan HONOR 400 Pro di pasaran China berbeza dengan pasaran global. Setakat ini pihak HONOR masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung model telefon pintar keluaran baharu berkenaan.

Tinggalkan komentar