Kapasiti keseluruhan muat turun untuk sesebuah talian selular 5G mesti sekurang-kurangnya 20Gbps mengikut ketetapan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (International Telcommunication Union, ITU). Sebagai perbandingan, kadar data puncak untuk talian selular LTE sekarang ini adalah pada 1Gbps.
Piawaian untuk spesifikasi 5G yang akan datang ini juga perlu menyokong sehingga 1 juta peranti bagi setiap kilometer persegi. Selain turut menuntut para penyedia perkhidmatan mempunyai sekurang-kurangnya 100MHz ruang spektrum dan boleh dicapai sehingga 1GHz jika keadaan mengizinkan.
Spesifikasi ini datangnya dari draf laporan ITU berkenaan keperluan teknikal untuk antaramuka gelombang radio IMT-2020 (atau lebih dikenali sebagai 5G) yang diterbitkan pada 23 Februari yang lalu. Setakat ini, dokumen berkenaan masih lagi diperingkat draf. Namun, dijangkakan ia akan disahkan dan dipersiapkan pada peringkat akhir sekitar November tahun ini, seiring dengan usaha membangunkan prasarana teknologi 5G.
Berdasarkan draf laporan berkenaan, spesifikasi yang diperlukan adalah antaranya;
Kadar data puncak 5G
Spesifikasi ini menetapkan pada sekurang-kurangnya 20Gbps untuk memuat turun dan 10Gbps untuk memuat naik pada setiap stesen mudah alih. Ini adalah jumlah keseluruhan trafik yang dapat diuruskan oleh sesebuah talian selular. Secara teori, pengguna jalur lebar tanpa wayar yang pegun berkemungkinan memperoleh kelajuan yang hampir dengan 5G, itupun bergantung jika mendapat sambungan khusus titik ke titik. Namun realitinya, kelajuan 20Gbps berkenaan akan dipecah-pecahkan kepada semua pengguna di dalam sesebuah talian selular berkenaan.
Ketumpatan sambungan peranti 5G
Jumlah minima 1 juta pengguna yang bersambungan untuk setiap kilometer boleh dianggap sebagai jumlah yang sangat tinggi. Namun demikian, ia perlu mengambil kira perkembangan dan pertambahan bilangan peranti-peranti Internet of Things pada masa depan.
Kemudahalihan 5G
Sama dengan LTE dan LTE Advanced, spesifikasi panggilan 5G untuk menara telekomunikasi (base station) mampu menyokong kesemua akses, dari peranti yang pegun berkelajuan 0 kmj hingga ke yang sedang bergerak 500 kmj.
Kecekapan penggunaan tenaga
Spesifikasi panggilan 5G turut menawarkan ciri penjimatan penggunaan tenaga sewaktu digunakan dan mampu masuk ke mod tenaga rendah dengan segera sewaktu ia tidak digunakan. Bagi membolehkannya, kependaman kawalan satah sepatutnya berada pada paras serendah 10 ms. Manakala untuk mengubah dari ke mod penjimatan tenaga, gelombang radio 5G perlu mengubahnya dalam tempoh sekitar 10 ms.
Lain-lain
Turut dimasukkan di dalam draf berkenaan adalah kependaman, kecekapan spektral 5G dan juga kadar data 5G di dunia nyata. Kesemuannya turut dimuatkan di dalam draf laporan ITU berkenaan spesifikasi 5G.
Langkah seterusnya dalam implementasi 5G ini adalah memindahkan spesifikasi draf berkenaan ke teknologi sedia ada hari ini. Antaranya, bagaimana kadar data puncak 20Gbps boleh dicapai? Apakah blok-blok spektrum yang akan digunakan oleh 5G ini? Masih banyak lagi yang perlu dilakukan dalam tempoh dua tahun akan datang ini. Tambahan pula, para pembuat cip dan penyedia rangkaian telekomunikasi turut merangka draf untuk teknologi 5G ini.
Imej cover diperoleh dari Thinkstock











Dh ada ke 5G di malaysia bro??
Lambat lagi nak ada. Ni ITU pun baru nak draf dia punya spec. Kat US pun belum ada lagi.