sooka, platform penstriman terkemuka Malaysia, telah mengumumkan satu siri kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat tempatan termasuk pembekal telekomunikasi seperti Maxis dan U Mobile bagi menawarkan perkhidmatan penstriman kepada lebih ramai pengguna.

Melalui perkongsian ini, rakyat Malaysia berpeluang menikmati lebih banyak pilihan hiburan dengan akses percuma atau berharga diskaun kepada kandungan sukan dan hiburan. Pengumuman yang dibuat pada 14 Oktober 2025 ini, melibatkan lapan rakan kongsi strategik.

Tawaran Maxis Dan Hotlink

Kerjasama sooka dengan Maxis melibatkan tiga tawaran berbeza yang akan berkuat kuasa sehingga 31 Januari 2026. Pelanggan baharu dan sedia ada Maxis Postpaid 139/169/199 layak menerima akses percuma sooka Premium selama enam bulan.

Bagi pelanggan Hotlink Prepaid dengan Pas Internet Bulanan RM55, mereka akan mendapat 30 hari akses sooka Sports & Entertainment. Manakala pelanggan Hotlink Postpaid 45/60/70 yang mengambil pakej tambahan Data 2X pada harga RM9.90 juga layak menerima tawaran yang sama.

Selain itu, semua pelanggan Maxis Postpaid dan Hotlink yang lain boleh melanggan perkhidmatan penstriman ini pada harga diskaun. Sepanjang tempoh promosi, pelanggan berkenaan boleh melanggan sooka Premium pada harga RM25 sebulan, atau pakej Super Streamer Add-on (sooka Sports & Entertainment) pada harga RM15 sebulan.

Pelan Perlindungan Etiqa

Sebagai sebahagian daripada perkongsian sooka dengan Etiqa, semua pengguna sooka baharu dan sedia ada berhak mendapat pelan perlindungan kemalangan diri bernilai RM10,000 daripada pembekal insurans tersebut. Untuk mendaftar tawaran ini, pengguna boleh mengakses aplikasi sooka, dengan pelan perlindungan sah selama 30 hari dari tarikh pengaktifan.

Dalam pada masa yang sama, pelanggan Etiqa pula boleh menikmati akses percuma selama 10 hari kepada pelan Sports & Entertainment. Mereka yang layak akan menerima baucar digital unik dengan kod pengaktifan melalui e-mel, dengan tawaran berkuat kuasa sehingga 31 Januari 2026.

Pakej U Mobile, Grab dan MAE

U Mobile kini menawarkan pakej gabungan untuk pelan jalur lebar U Home 5G yang baru-baru ini diperluaskan merangkumi Sabah dan Sarawak. Dinamakan sebagai U Home 5G x sooka Premium, pakej ini termasuk langganan sooka Premium dan hanya tersedia melalui Aplikasi MyUMobile.

Mulai sekarang sehingga 31 Disember 2025, pengguna Grab boleh menggunakan mata Grab mereka untuk menebus pelan percuma Sports & Entertainment selama 14 hari melalui GrabRewards.

Tawaran percuma 14 hari yang sama juga ditawarkan melalui kempen JOM MAE, di mana pengguna yang membuka MAE Wallet melalui Aplikasi MAE boleh melengkapkan proses pendaftaran untuk menerima ganjaran wang tunai berserta kod akses percuma.

Kerjasama Sports Direct, ZUS Coffee Dan VIU

Sports Direct turut menawarkan ahlinya akses percuma kepada pelan Sports & Entertainment selama tujuh hari. Untuk menikmati tawaran ini, pelanggan boleh membeli apa-apa barangan dari kedai fizikal atau dalam talian jenama tersebut, dengan promosi berakhir pada 26 Februari 2026.

Bagi penggemar kopi, sooka telah bekerjasama dengan ZUS Coffee yang menawarkan akses percuma tujuh hari kepada pelan Sports & Entertainment sooka. Mereka yang berminat boleh menebus mata ZUS di Aplikasi ZUS Coffee antara sekarang dan 31 Disember 2025.

sooka juga telah bekerjasama dengan platform OTT lain, VIU, untuk menawarkan pakej aplikasi gabungan sooka-VIU. Berharga dari RM21.90 sebulan, pakej ini memberikan akses kepada kedua-dua platform pada harga diskaun dan akan tersedia untuk pembelian di laman web sooka.

Menurut Chu Young Lee, Pengarah sooka, “Misi kami di sooka sentiasa mahu menjadikan siaran langsung sukan, hiburan Asia dan tempatan lebih mudah diakses untuk semua”.

Beliau menambah bahawa kerjasama baharu dengan peneraju pasaran tempatan adalah lanjutan semula jadi daripada visi tersebut, membuka nilai yang lebih besar dan mencapai khalayak baharu. sooka kini disenaraikan sebagai aplikasi sukan nombor satu dan antara lima aplikasi berpendapatan tertinggi di Google Play Store di Malaysia.

Tinggalkan komentar