Sony baru-baru ini telah melancarkan tunas telinga (earbud) nirwayar terbaru, WF-H800 h.ear in 3, meneruskan kesinambungan dari WF-1000XM3.
Apa yang membezakan WF-H800 dengan WF-1000XM3 adalah pilihan warna yang lebih meluas. Sedang WF-1000XM3 menawarkan pilihan warna hitam dan perak, WF-H800 menawarkan pilihan warna biru, jingga, merah, hitam dan hijau.
Dari segi reka bentuknya pula, WF-H800 dilihat membawa kembali rekaan WF-1000X tetapi bezanya ia menawarkan kualiti audio yang lebih baik dan juga isyarat penerimaannya.
Untuk spesifikasinya pula tunas telinga ini menampilkan rekaan tri-pegangan Lightweight bagi menyesuaikan dengan pemacu 6mm neodymium. Tambahan pula ia juga menyokong Bluetooth 5.0 seperti mana yang ditawarkan pada model WF-1000XM3.
Seperti mana WF-1000XM3, WH-F800 didapati hanya menyokong Sony DSEE HX sahaja, dan Qualcomm aptX tidak disokong. Selain itu, tunas telinga ini mempunyai fungsi pembatal-hingar aktif dan turut sama menyokong penggunaan Google Assistant dan Amazon Alexa.
Sony turut menyatakan bateri tunas telinga ini mampu bertahan sehingga 8 jam penggunaan secara terus-menerus. Bekas simpanannya juga boleh menyimpan cas tenaga sehingga 8 jam lagi, seterusnya menjadikan waktu penggunaannya boleh mencapai sehingga 16 jam secara keseluruhannya. Seperti yang ditawarkan pada WF-1000XM3, bekas simpanan WH-F800 menyokong fungsi pengecasan pantas dengan 10 minit waktu mengecas mampu memberikan tempoh penggunaan sehingga 70 minit.
Tunas telinga Sony WF-H800 h.ear in 3 boleh didapati di stor Sony seluruh negara bermula dari 23 Februari 2020 pada harga RM849. Bagi anda yang berminat, boleh mendapatkannya di kedai dalam talian Sony dan juga kedai rasmi Sony di Lazada.













