Memperkenalkan, DualSense, alat kawalan rasmi untuk konsol permainan PlayStation 5 (PS5). Alat kawalan terbaru untuk konsol terbaru yang akan datang ini, Sony tidak lagi menggunakan nama DualShock seperti yang terdahulu.

Sekali pandang, alat kawalan DualSense ini masih lagi mempunyai iras-iras seperti alat kawalan konsol Sony yang terdahulu. Cumanya, ia lebih kelihatan anggun dan moden dari segi rekaannya. Warna pilihan yang digunakan juga berlainan kerana menggunakan dua tona warna berbanding tona warna tunggal seperti untuk konsol sebelumnya.

Alat kawalan terbaru ini menampilkan susun atur yang lazimnya terdapat pada alat kawalan Sony PlayStation yang lain, terutama sekali DualShock 4. Beberapa perubahan baru yang ketara termasuklah bar cahaya berwarna biru pada sisi pad sesentuh di tengahnya dan logo PlayStation di sebelah bawah pembesar suara terbina dalamnya. Tidak ketinggalan, butang “Share” telah dijenamakan semula sebagai “Create”.

Selain rekaannya, Sony turut mendedahkan alat kawalan ini turut menyertakan sebilangan fungsi terbaru dan naik taraf. Antaranya merangkumi teknologi maklumbalas haptik terbaru, butang picu adaptif bagi rasa sensasi, dan bateri boleh cas semula dengan sokongan USB-C.

Alat kawalan ini juga turut disertakan dengan mikrofon terbina dalam yang bertujuan memudahkan para pemain berborak dengan rakan-rakan dalam talian tanpa perlu menggunakan set kepala.

Sony bagaimanapun tidak membincangkan dengan lebih mendalam mengenai hayat penggunaan bateri, kawalan giro (gyro controls), atau ciri-ciri unik lain.

Tinggalkan komentar