Qualcomm secara rasminya telah mengumumkan Snapdragon W5 Plus Gen 1 dan W5 Gen 1 yang dikhususkan pada peranti boleh pakai. Penambahbaikan pada cip ini ditumpukan pada tempoh penggunaan bateri yang lebih panjang dan prestasi yang lebih baik selain dari hadir dalam bentuk yang lebih kompak.

Snapdragon W5 Plus Gen 1 dibina menggunakan teknologi pembuatan 4nm dan mengetengahkan ciri penggunaan kuasa ultra-rendah. Malahan, Qualcomm mendakwa ia menggunakan kuasa 50% kurang berbanding generasi sebelumnya, Wear 4100+.

Menurut Qualcomm, jam tangan yang menggunakannya mampu bertahan lebih lama sekitar 15 hingga 24 jam lebih panjang apabila ciri Always-On Display diaktifkan berbanding Wear 4100+.

Ia juga menyokong Bluetooth 5.3, NFC serta keadaan kuasa rendah seperti Deep Sleep dan Hibernate. Turut disediakan ruangan pengasingan kuasa rendah khusus untuk kegunaan Wi-Fi, GNSS, dan audio.

Qualcomm juga menyatakan cip baharu ini menawarkan ciri interaktif baharu seperti muka jam 3D, peta 3D, main semula video, panggilan video dua hala, kawalan peranti pintar dan banyak lagi.

Snapdragon W5 Plus Gen 1 juga menawarkan prestasi dua kali ganda walaupun saiznya 30% lebih kecil. Ia menggunakan senibina hibrid yang dilengkapkan dengan cip 4nm dan pemprosesan 22nm yang sentiasa-terpasang (always-on) berintegrasi. CPUnya dilengkapkan dengan empat teras ARM Cortex A53, sama seperti Wear 4100+, dan GPU pula menggunakan Qualcomm Adreno A702 yang diklokkan pada 1Ghz.

Qualcomm Snapdragon W5 Gen 1

Untuk Snapdragon W5 Gen 1 pula, Qualcomm masih belum mendedahkan maklumat yang lebih terperinci mengenainya. Setakat ini cipset berkenaan diketahui tidak mempunyai pemprosesan bersama seperti W5 Plus Gen 1. Cip ini juga dijangka lebih banyak digunakan pada peranti seperti peranti boleh pakai khusus untuk kesihatan, kanak-kanak dan sebagainya berbanding W5 Plus Gen 1 yang dikhususkan pada jam tangan pintar arus perdana.

Qualcomm turut menyatakan setakat ini terdapat 25 rekaan yang bakal menggunakan cipset terbaru berkenaan dengan OPPO dan Mobvoi antara menjadi pengeluar pertama yang menampilkannya.

Bulan depan dijangkakan OPPO akan melancarkan OPPO Watch 3 yang menggunakan Snapdragon W5 Gen 1. Manakala Mobvoi pula akan memperkenalkan jam tangan pintar mercunya yang menggunakan Snapdragon W5 Plus Gen 1 sekitar musim luruh ini. Turut diumumkan dua rekaan rujukan dari Compal dan Pegatrom yang boleh digunakan untuk membangunkan peranti boleh pakai berdasarkan platform terbaru ini.

Tinggalkan komentar