Sudah enam tahun standard memori DDR4 hadir memasuki pasaran dan ini tidak menghalang pengeluar semikonduktor Korea Selatan, SK Hynix mengusahakan standard memori generasi berikutnya, DDR5.
Standard memori DDR5 yang masih belum dikeluarkan ini lagi dikatakan mampu mencapai frekuensi sehingga 8,400MHz. Sebagai perbandingan, memori DDR4 pada kebiasaannya dioperasikan pada frekuensi 3,200MHz. Ia juga dikatakan 50% lebih pantas berbanding format memori yang sedang digunakan kini.
Frekuensi yang lebih tinggi bermaksud lebih prestasi lebar jalur bagi setiap saluran. Menurut SK Hynix, pada frekuensi 8,400MHz, memori DDR5 yang akan datang ini boleh mempunyai lebar jalur 67.2GB/s pada setiap saluran. Ini bermakna, konfigurasi dwi-saluran standard memori baru ini mampu mencapai lebar jalur lebih dari 134GB/s.
Laman portal Techspot menjelaskan, salah satu kemungkinan pencapaian SK Hynix pada DDR5 ini adalah bilangan bank-bank memorinya dan cara ia menggandakan had masa yang diperlukan subsistem memori untuk melompat dari satu bank ke bank yang lain dalam satu pusingan.
SK Hynix dijangka akan memulakan pengeluaran besar-besaran memori DDR5 sekitar tahun ini. Dijangkakan, DDR5 akan mula menggantikan DD4 sekitar tahun 2021 dan akan menjadi standard baru pada tahun 2022.













