Perkhidmatan pos Singapura, Singapore Post Ltd. atau lebih dikenali sebagai SingPost telah mengikut jejak langkah Amazon dalam khidmat penghantaran menggunakan dron. Percubaan ini merupakan salah satu usaha untuk mempercepatkan proses penghantaran barangan kepada pengguna melalui SingPost.

Dron yang dibangunkan dengan usaha sama Infocomm Development Authority of Singapore (Penguasa Pembangunan Infokom Singapura) ini telah berjaya menjalani percubaan menghantar kiriman yang mengandungi sepucuk surat dan sehelai kemeja T pada jarak penerbangan 1.2 kilometer dalam tempoh 5 minit.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SingPost, penghantaran pos menggunakan dron ini merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

Singapura menggalakkan penggunaan dron sebagai medium penghantaran pos sebagai salah satu cara memenuhi permintaan pengguna yang kian mendesak melalui perkembangan aktiviti pembelian atas talian yang semakin bertambah dari hari ke hari.

Syarikat e-dagang seperti Amazon kini masih lagi di dalam proses mendapatkan keizinan dari pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk menggunakan dron sebagai medium penghantaran barangan kepada pembeli. April lalu, Amazon telah mendapat pengecualian dari Federal Aviation Administration Amerika Syarikat untuk membenarkannya melakukan pengujian di sekitar Amerika Syarikat.

Lain halnya dengan Singapura apabila rang undang-undang dibentuk awal tahun ini bagi mengizinkan penggunaan dron. Dron yang digunakan oleh SingPost ini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan dan juga aplikasi prototaip yang digunakan untuk tujuan keselamatan dan pengesahan untuk memastikan surat dan barangan yang dihantar dapat dihantar kepada penerimanya.

-Sumber berita diperoleh dari The Strait Times

1 komen

Tinggalkan komentar