Apple merancang untuk memperluaskan sokongan ciri Dynamic Island ke keempat-empat model iPhone 15 yang akan dilancarkan pada tahun depan, menurut kenyataan oleh penganalisis industri Ross Young. Ciri ini buat masa ini hanya eksklusif untuk iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max.
Menerusi hantarannya di Twitter, beliau menjangkakan Dynamic Island akan boleh didapati pada model standard iPhone 15 tahun depan.
Bagaimanapun beliau tidak menjangkakan model iPhone 15 standard tersebut akan dilengkapkan dengan paparan LTPO. Seterusnya memungkinkan ia tidak akan menyediakan sokongan ProMotion dan pilihan paparan sentiasa terpasang (AOD) seperti yang terdapat pada model Pro.
Yes, Dynamic Island expected on standard models on the 15. Still not expecting 120Hz/LTPO on standard models as supply chain can’t support it.
— Ross Young (@DSCCRoss) September 18, 2022
Dynamic Island merupakan kawasan berbentuk kapsul di kawasan sekeliling sensor Face ID dan kamera hadapan model iPhone 14 Pro. Ciri ini akan memaparkan pemakluman sistem seperti panggilan masuk dan prom pengesahan Face ID. Ia juga boleh digunakan bersama-sama Live Activities di dalam aplikasi pihak ketiga apabila iOS 16.1 dilancarkan kelak pada thaun ini.
Sebelum ini Ross Young pernah menjangkakan dengan tepat mengenai model iPhone 13 Pro dan MacBook Pro 14-inci dan 16-inci akan menampilkan ProMotion. Beliau juga pernah menjangkakan iPad mini generasi keenam akan dilengkapkan dengan papara 8.3-inci. Malahan, beliau turut menjangkakan MacBook Air yang terkini akan mempunyai paparan yang sedikit besar 13.6-inci.













