Pengguna lebuhraya kelak boleh menggunakan mana-mana lorong di plaza tol di seluruh Lembah Klang untuk membuat pembayaran mengikut pilihan masing-masing jika cadangan bagi menggabungkan semua bentuk teknologi pembayaran di semua lorong mendapat kelulusan.
Kementerian Wilayah Persekutuan telah meminta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk membincangkan perkara tersebut dengan konsesi-konsesi lebuhraya yang berkenaan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alisa menyatakan cadangan tersebut bagi mengurangkan kesesakan di dalam bandar terutamanya ketika waktu puncak. Menurut beliau, hal ini berlaku kerana pengguna perlu mengubah laluan mengikut lorong pembayaran pilihan mereka dan ini mengakibatkan keadaan trafik plaza tol menjadi semakin sesak.
Tambah beliau lagi, palang tol juga perlu dibuka buat sementara waktu ketika waktu puncak bagi membolehkan aliran trafik menjadi lebih lancar. Satu kaedah alternatif juga perlu dikenalpastik bagi membolehkan kenderaan melepasi plaza tol lebih pantas ketika waktu puncak.
Dalam pada masa yang sama, menteri berkenaan juga menyatakan perkara ini juga akan dibincangkan dengan Kementerian Pengangkutan selepas mendapat maklum balas dari pihak LLM.













