Kemaskini versi Android pada kebanyakan masa boleh dilakukan dengan lancar tanpa sebarang masalah yang mengganggu tetapan pada aplikasi pengguna. Bagaimanapun, ada kalanya gangguan yang disebabkan oleh perubahan yang dibuat dari kemaskini ini tetap boleh berlaku.
Contohnya kita boleh lihat pada kemaskini Android 10 yang mengakibatkan fungsi Secure2u di dalam aplikasi Maybank perlu didaftarkan semula. Ketiadaan fungsi ini boleh menyebabkan pengesahan pengguna untuk transaksi Maybank2u tidak dapat dilakukan.
Kegagalan pengesahan ini akan ditunjukkan sebagai kod ralat M16 dan menurut Maybank, langkah penyelesaian untuk ralat tersebut adalah dengan pengguna perlu mendaftarkan semula fungsi Secure2u.
Caranya adalah dengan ketik pada butang menu di dalam aplikasi Maybank, diikuti dengan pilihan Secure2u. Aplikasi berkenaan seterusnya akan mengajukan sama ada anda ingin mendaftarkannya semula pada peranti semasa anda dan tekan butang ‘Yes’.
Bagaimanapun, Maybank tidak menyatakan mengapa naik taraf ke Android 10 memberi kesan terhadap fungsi Secure2u. Apa yang pengguna peranti Android 10 terlibat perlu lakukan pada ketika ini adalah mendaftarkan semula fungsi Secure2u untuk terus menggunakan perkhidmatan transaksi dalam talian Maybank.
Sumber berita diperoleh dari Maybank