AirAsia X baru-baru ini telah mengeluarkan peringatan kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan scammer di dalam WhatsApp yang mendakwa dari AirAsia X. Mesej berkenaan meminta mangsa untuk mendepositkan bayaran ke akaun yang kononnya syarikat pengurusan kredit.
Pihak AirAsia mengecam tindakan tidak bertanggungjawab ini dan menegaskan segala pengumuman rasmi dibuat menerusi saluran rasmi AirAsia Group di media sosial atau arus perdana.
Orang ramai diingatkan supaya mengabaikan mesej berkenaan dan tidak berkongsikan maklumat-maklumat sulit dari individu yang menyamar kononnya dari AirAsia X Berhad.
Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengingatkan orang ramai untuk berhati-hati dengan scam yang boleh menyebabkan pengguna kehilangan akses ke akaun WhatsApp. Penipuan tersebut dilakukan dengan meminta kod verifikasi pengguna dengan menyamar sebagai laman WhatsApp.
Scam dalam talian dilihat kian meningkat semenjak penularan wabak pandemik COVID-19 di Malaysia. Pengguna diingatkan supaya kekal peka dan berhati-hati supaya tidak berkongsikan maklumat sulit sewenang-wenangnya.













