Sindiket penipuan dalam talian kini mampu memindahkan sehingga 90 peratus daripada wang yang dicuri daripada akaun mangsa dalam masa tiga hingga 10 minit sahaja. Cara tersebut dilakukan melalui penggunaan akaun keldai, menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau menyatakan demikian semasa pelancaran premis baharu Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di Menara 2, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya baru-baru ini.

Kelewatan mangsa dalam membuat laporan juga boleh menjejaskan peluang untuk memulihkan wang yang telah dicuri.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut, menggesa orang ramai supaya segera menghubungi talian kecemasan NSRC di nombor 997 sebaik sahaja mengesyaki berlakunya penipuan.

“Lebih cepat mangsa menghubungi 997, lebih cepat Bank Negara Malaysia dapat menyekat dana yang dicuri,” kata Fahmi kepada pemberita.

Beliau turut memohon agar pihak media memberikan liputan meluas terhadap nombor talian 997 bagi memastikan kesedaran awam terus meningkat.

Saifuddin Nasution menjelaskan bahawa kelewatan dalam membuat laporan membawa risiko besar kepada mangsa, dengan kes-kes menunjukkan scammer berjaya mengosongkan 80 hingga 90 peratus kandungan akaun mangsa dalam masa tiga hingga 10 minit melalui penggunaan akaun keldai.

“Satu hingga dua jam pertama adalah sangat kritikal. Lebih lama mangsa menunggu, lebih sukar untuk menghentikan wang daripada berlapis-lapis dipindahkan,” ujar Saifuddin Nasution

Beliau turut memaklumkan pindaan Kanun Keseksaan kini menjadikannya suatu kesalahan jenayah bagi individu yang membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh sindiket scam. Usaha ini merupakan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan melancarkan “perang habis-habisan” terhadap penipuan dalam talian.

NSRC Kini Beroperasi 24 Jam

NSRC kini beroperasi penuh selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dari premis baharu di Menara 2, MCMC. Sebelum ini agensi berkenaan beroperasi di bangunan Bank Negara Malaysia (BNM) di Kuala Lumpur.

Pusat ini merupakan hasil kerjasama pelbagai agensi utama termasuk BNM, MCMC, Pusat Kebangsaan Anti Jenayah Kewangan, dan pihak polis.

Statistik NSRC bagi tahun 2025 menunjukkan pencapaian berikut:

  • 146,147 panggilan aduan diterima sepanjang 2025
  • 138 tindakan pembekuan akaun dilaksanakan
  • RM34.53 juta berjaya diselamatkan daripada jatuh ke tangan sindiket scam
  • Wang yang berjaya dipulangkan kepada mangsa meningkat daripada RM508,407 pada 2024 kepada RM6.7 juta pada 2025
  • 35,322 panggilan direkodkan pada Januari 2026 sahaja

Walaupun pemulihan dana menunjukkan peningkatan, Malaysia masih mencatatkan kerugian scam sebanyak RM542 juta sepanjang tahun 2025. Hanya sebahagian kecil wang yang berjaya diselamatkan berbanding jumlah keseluruhan yang hilang.

Tinggalkan komentar