Peniaga laba singkat (scalper) iPhone 14 di China kini sedang berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan keuntungan hasil jualan. Kebanyakannya terpaksa menjual pada harga yang lebih rendah dari harga pasaran.
Lumrah di dalam pasaran terbuka, kegiatan perniagaan laba singkat ini sukar untuk dielakkan terutamanya melibatkan produk-produk popular seperti PlayStation 5 atau mug Starbucks. Selagi ada permintaan, selagi itu ada penawaran terutamanya dari pembeli yang tidak sabar dan mempunyai banyak wang.
Pun begitu, setiap perniagaan mempunyai risikonya yang tersendiri. Media dari China melaporkan peniaga-peniaga laba singkat ini terpaksa menjual iPhone 14 baharu mereka di tepi jalan pada harga yang lebih rendah dari harga pasaran.
Foto-foto yang menunjukkan peniaga berkenaan menjual lambakan iPhone 14 mereka di tepi jalan sedang berlegar di kalangan warganet China. Perkara ini mungkin tidak pernah dijangkakan sebelum ini termasuk peniaga-peniaga tersebut.
Jadi, apa sebenarnya yang menjadi punca keadaan ini berlaku?
Kebanyakan pakar menyatakan hal ini berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor yang membuatkan keadaan pasaran masa kini yang telah berubah.
Faktor kelembapan ekonomi mengurangkan permintaan iPhone 14
Misalnya, tidak ramai yang menjangka Apple menguruskan penghantaran siri iPhone 14 selepas pelancarannya dengan begitu baik kali ni. Tambahan pula, permintaan telefon pintar yang melemah kesan dari kelembapan ekonomi membuatkan pengguna berfikir panjang untuk menukar peranti baharu.
Lagipun, pasaran telefon pintar hari ini terlalu kompetitif dengan pelbagai penawaran telefon pintar dari pelbagai jenama yang membuatkan pengguna ini mempunyai lebih banyak pilihan.
Kesannya, peniaga-peniaga laba singkat iPhone 14 tersebut kini terpaksa menjualkannya pada harga yang lebih rendah dari harga pasaran. Kononnya, mereka berhasrat untuk mendapatkan keuntungan sekitar 5,000 (~RM3,253) hingga 6,000 yuan (~RM3,950) bagi setiap unit.
Foto-foto di media sosial kini tular dengan menunjukkan peniaga-peniaga laba singkat iPhone 14 ini duduk mencangkung di hadapan pintu pagar Tianhuan di Guangzhou, China. Menurut sumber, harga iPhone 14 yang dijual di tepi jalan tersebut berharga 500 yuan (~RM326) hingga 1,000 yuan (~RM652) lebih murah dari harga rasminya di pasaran.













