SanDisk dan Micron, dua nama besar di dalam industri pembuatan storan flash telah mengumumkan pengeluaran kad microSDXC berkapasiti 1TB akan bermula tidak berapa lama lagi. Menurut kedua-dua syarikat berkenaan, kapasiti tersebut merupakan yang terbesar ditawarkan untuk kad mikroSD buat masa ini.
Kedua-dua jenis kad mikro dari dua pengeluar yang berbeza ini bagaimanapun menawarkan kelajuan baca dan tulis yang berbeza. Untuk Micron, kelajuan membaca yang ditawarkan adalah pada kadar 100Mbps dan untuk menulis pula adalah pada kadar 95Mbps. Manakala untuk SanDisk pula, kad mikroSD keluarannya menawarkan kelajuan membaca yang lebih pantas iaitu pada 160Mbps dan menulis pada kadar 90Mbps.
Direka khusus untuk kegunaan media dan aplikasi, kad-kad mikroSD keluaran terbaru ini turut menyokong fungsi rakaman video beresolusi 4K. Ia juga menerima persijilan A2 untuk sokongan instalasi aplikasi.
SanDisk mula membuka pra-tempahan kad mikroSD 1TB ini dengan harga $499.99 (bersamaan lebih kurang RM2,033). Kapasiti yang kecil sedikit daripadanya, 512GB pula dijual pada harga $199.99 (bersamaan lebih kurang RM813). Kedua-dua jenis kad mikroSD ini boleh didapati di pasaran bermula April 2019 ini.
Bagaimanapun, pihak Micron masih lagi belum berkongsikan harga untuk kad mikroSD 1TB keluarannya. Setakat ini Micron hanya mengesahkan kad mikroSD keluarannya bakal memasuki pasaran sekitar suku tahun kedua 2019.
Sumber berita diperoleh dari Bussiness Wire, Micron













