Tidak sampai seminggu selepas pengumuman Galaxy M31, Samsung secara rasminya telah mengumumkan sebuah lagi model siri telefon pintar ini, Galaxy M11. Telefon pintar ini direka khusus untuk pasaran pengguna peringkat permulaan.

Galaxy M11 dilaporkan telah muncul melalui laman web rasmi Samsung UAE. Dari segi spesifikasi, telefon pintar ini menampilkan cipset Qualcomm Snapdragon 450, RAM 4GB dan storan pilihan antara 32GB atau 64GB.

Telefon pintar ini menampilkan paparan panel HD+ Infinity-O 6.4-inci dengan kamera swafoto berpenebuk lubang di penjuru kiri atas.

Kamera utama Galaxy M11 menggunakan modul tri-kamera yang mengandungi lensa utama 13MP, lensa ultra lebar 5MP dan lensa kedalaman 2MP. Bagi kamera swafotonya pula, telefon pintar terbaru keluaran Samsung ini menggunakan lensa 8MP.

Kapasiti bateri untuk Galaxy M11 ini boleh dikatakan agak besar iaitu pada 5,000mAh. Tidak ketinggalan, telefon pintar ini menawarkan pengimbas cap jari yang ditempatkan pada bahagian belakangnya. Penambahan fungsi ini dilihat semakin banyak dilakukan pada telefon-telefon pintar model terkini peringkat permulaan dan menengah oleh kebanyakan pengeluar.

Buat masa ini Samsung masih lagi belum memperincikan mengenai harga dan keberadaan telefon pintar ini ke pasaran Malaysia. Juga tidak diketahui sama ada model Galaxy M11 kelak bakal menggunakan cipset Snapdragon 450 atau Exynos.

Tinggalkan komentar